Saya dengan Amira, Tak Perlu Cerita Lebih-lebih”-Fattah Amin Masih Percaya Cinta

23 hours ago 10

Pelakon Fattah Amin mengakui bahawa hatinya masih percaya pada makna cinta meskipun pernah melalui kegagalan rumah tangga bersama bekas isteri, Fazura. Bagi aktor berusia 34 tahun itu, kegagalan bukan penamat segalanya, sebaliknya menjadi pengajaran untuk lebih berhati-hati dan matang dalam menguruskan perasaan serta kehidupan peribadi.

Namun begitu, Fattah lebih memilih untuk tidak terlalu terbuka dalam berbicara mengenai soal hati, terutamanya apabila nama penyanyi dan pelakon Amira Othman sering dikaitkan dengannya. Ujarnya, perkara sebegini lebih baik disimpan rapi demi menjaga perasaan banyak pihak.

“Bercakap mengenai cinta, kalau boleh saya mahukan perkara ini tidak diceritakan secara terbuka sebab benda pun mungkin ada, mungkin tiada, kita pun tak tahu kan. Kita sebenarnya fokus dengan kerjaya sahajalah. Macam saya dengan Amira, saya pun tak boleh nak cerita lebih-lebih, saya kena hormat dia dan keluarganya,” katanya dalam sebuah temu bual baru-baru ini.

Fattah yang kini membawa watak utama dalam drama Kulit Wayang turut menjelaskan bahawa perkongsian mengenai kehidupan peribadi akan dibuat hanya jika dirasakan sesuai dan tidak mendatangkan ketidakselesaan. Prinsipnya mudah, berkongsi jika manis, diam jika boleh mengundang salah faham.

“Soal cinta ini memang bergantung kepada keadaan. Kalau rasa tak manis untuk berkongsi, kita jangan kongsi. Kalau perkara itu ada kemanisan, membuatkan orang lain rasa senang, kita kongsi. Selagi kita jaga batas, sudah cukup,” tambahnya dengan tenang.

Kenyataan duda anak satu itu nyata meraih perhatian ramai. Rata-rata netizen memuji pendekatannya yang matang dan penuh hormat terhadap semua pihak yang terlibat. Ada yang menyifatkan Fattah sebagai seorang lelaki budiman yang bijak menjaga aib serta maruah orang lain, selain tidak terikut-ikut dengan trend menunjukkan kisah cinta secara terbuka di media sosial.

Dalam diam, hubungan antara Fattah dan Amira terus menjadi perhatian. Mereka pernah bergandingan dalam beberapa kempen jenama terkenal dan kemesraan mereka kerap mencetuskan spekulasi bahawa wujud hubungan lebih daripada sekadar rakan artis. Meskipun tiada pengesahan rasmi, peminat tetap mendoakan yang terbaik, malah ada yang percaya keluarga kedua-dua belah pihak turut merestui andai benar ada benih cinta yang sedang mekar.

Bagi Fattah, biarlah segala-galanya berjalan secara semula jadi. Jika jodoh itu datang sekali lagi, dia bersedia untuk menyambutnya, kali ini dengan lebih berhati-hati dan penuh rasa syukur. Yang penting, cinta tidak perlu dijeritkan kepada dunia, cukup jika ia dijaga dengan ikhlas dan hormat.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |