Dalam suasana yang penuh dengan teka-teki dan kontroversi, nama penyanyi dan pelakon popular Naim Daniel menjadi tumpuan apabila dikaitkan dengan satu dakwaan serius membabitkan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Meski belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Naim atau wakilnya, ruang media sosial miliknya kini dibanjiri dengan pelbagai reaksi, ada yang mengecam, namun tidak kurang juga yang tampil mempertahankan serta menyokong figura seni itu.
Menerusi Instagram Story kelab peminatnya, Naimians, sokongan moral terhadap Naim dizahirkan dalam bentuk kata-kata semangat yang menyentuh hati. Para peminat menyeru agar artis kesayangan mereka itu terus kuat, tabah dan tidak tunduk kepada tekanan mahupun suara-suara sumbang yang cuba menjatuhkannya. “Jangan biarkan suara-suara sumbang meracuni fikiranmu. Mereka bukan penentu arah hidupmu, Naim yang memegang kendali,” tulis salah seorang peminat.
Ada juga yang menyuntik inspirasi dengan pesanan bernada motivasi, “Setiap pagi adalah peluang baharu untuk mencipta kejayaan, untuk membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalangmu selagi Naim percaya pada diri sendiri.” Suasana dalam kalangan penyokong jelas memperlihatkan harapan agar Naim tampil menjernihkan keadaan, meskipun mereka memahami betapa rumitnya situasi yang dihadapi ketika ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang penyanyi dan pelakon lelaki terkenal telah ditahan polis atas dakwaan melakukan amang seksual di sebuah hotel di Selangor. Remaja perempuan berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis berkenaan di tempat kerjanya, sebuah kafe, sebelum insiden dilaporkan berlaku. Walaupun laporan tidak menamakan individu secara terus, spekulasi dalam talian cepat mengaitkan Naim dengan kes terbabit.
Dalam pada itu, wujud juga suara netizen yang meminta agar orang ramai tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman sebelum segala siasatan dan fakta disahkan secara rasmi. Bagi para peminat setia Naim, apa yang penting kini ialah memberi ruang untuk kebenaran muncul dan tidak membiarkan gosip semata-mata membentuk persepsi.
Sementara itu, mata umum masih tertumpu kepada langkah seterusnya daripada pihak Naim sendiri, sama ada akan tampil dengan kenyataan balas atau memilih untuk terus berdiam diri dalam tempoh yang mencabar ini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.