Wang RM60,000 Milik Arwah Isteri Lesap, Ridzokumura Dakwa Orang Curi Ketika Melawat Rumah Jenazah

3 days ago 17

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib, yang lebih dikenali sebagai Ridzuan Ridzokumura, baru-baru ini mendedahkan bahawa wang bernilai antara RM60,000 hingga RM70,000 milik arwah isterinya, Allahyarham Akiko Okumura, yang meninggal dunia hujung bulan lalu, telah lesap. Dalam siaran langsung di TikTok, Ridzokumura mendakwa wang tersebut mungkin telah diambil oleh individu yang pernah bertandang ke rumahnya selepas kematian isterinya.

“Sampai hati, duit orang meninggal pun nak ambil. Bukan orang luar, tetapi orang sekeliling saya sebab yang datang pun kawan-kawan, polis, doktor, forensik dan sebagainya,” dakwanya dengan nada kesal. Meskipun begitu, Ridzokumura menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk menuduh atau menyalahkan mana-mana pihak secara langsung. “Saya tak salahkan sesiapa, salah saya sebab tak simpan duit. Orang yang ambil itu memang salah. Salahnya pada arwah dan Tuhan,” katanya sambil menegur tindakan individu yang mengambil wang tersebut.

Ridzokumura turut meluahkan rasa terkilan dengan kejadian itu dan menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak elok, apatah lagi dilakukan terhadap orang yang sudah meninggal dunia. “Tak elok ambil duit orang yang sudah pergi, terkilan saya. Biarlah orang itu jawab dengan Tuhan. Kalau arwah tak maafkan, tak maaflah dia,” tambahnya.

Menurut Ridzokumura, wang tersebut adalah simpanan yang mereka peroleh selepas pulang dari Jepun sekitar bulan Februari lalu. Wang itu disimpan dalam dua sampul di dalam beg arwah isterinya. “Selepas itu, saya memang tak usik duit ini. Dua tiga hari lepas barulah saya sedar,” katanya. Ridzokumura menganggarkan jumlah wang yang hilang sekitar RM60,000 hingga RM70,000, berdasarkan apa yang dilihatnya sebelum itu.

Malangnya, disebabkan kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya yang tidak berfungsi, dia gagal untuk mengenal pasti individu yang mungkin terlibat dalam kejadian tersebut.

Sebelum itu, pada 28 Februari, Akiko, yang berusia sekitar 50-an dan merupakan warga Jepun, dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya. Pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut kerana tidak terdapat sebarang unsur jenayah, namun mereka akan melakukan siasatan lanjut termasuk aspek kriminologi.

Jenazah Allahyarham Akiko disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya pada 2 Mac lalu.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |