Shah Rukh Khan (SRK) telah berkahwin dengan Gauri Khan selama 34 tahun. Walaupun pada awalnya dia mendapat tentangan daripada keluarga Gauri kerana perbezaan agama, tetapi SRK tidak berputus asa. Tanpa berhenti memujuk ibu bapa Gauri, akhirnya hubungan mereka direstui dan hidup dengan bahagia sehingga sekarang.
Dalam sebuah temu bual lama, SRK mendedahkan selepas dia berkahwin dengan Gauri, dia telah menghadapi tindak balas daripada beberapa institusi agama kerana mengahwini seorang wanita luar dari agama, di mana SRK beragama Islam dan Gauri pula beragama Hindu.

Superstar Bollywood itu turut akui jika dia berada di tempat ibu bapa Gauri, dia juga akan menentang dan menghalang anak perempuannya daripada berkahwin dengan lelaki sepertinya.
“Sekarang saya nampak macam biasa, pakai sut dan rambut disisir ke belakang. Tapi masa tu, rambut saya ada di sini (menunjuk dahi) dan kami berbeza agama. Masa tu saya nak jadi pelakon.”

Tambahnya, jika seorang lelaki datang kepadanya dengan penampilan sepertinya dahulu, dia akan mengusirnya. Mengimbas kembali kenangan lama, dia akui bahawa dia akhirnya faham kenapa ibu bapa Gauri pernah menolaknya suatu ketika dahulu.
“Jadi dengan kombinasi seperti itu, jika seseorang datang kepada saya dan mahu mengahwini anak perempuan saya dan dia berkata, “Lihat rambut saya seperti ini, agama saya lain dan saya mahu menjadi bintang filem”, saya akan memberitahunya, “Pergi sebelum saya buang awak”. Jadi saya rasa mereka (ibu bapa Gauri) betul-betul tidak mahu anak perempuannya kahwin dengan saya.”

Bercakap mengenai cabarannya selepas berkahwin, SRK mendedahkan terdapat bantahan di luar rumahnya, yang ketika itu berkongsi dengan rakannya. Akuinya, nasibnya agak baik pada masa itu kerana dia tidak mempunyai rumah atas namanya.
“Nasib baik, saya tidak mempunyai rumah atas nama saya, jadi saya berikan alamat seorang kawan. Daripada baling batu ke arah saya, mereka balik batu ke rumah kawan saya. Rakan saya, Sanjay menelefon dan memberitahu bahawa ada orang baling batu ke rumahnya.”
SRK dan Gauri berkahwin pada tahun 1991 dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Aryan Khan, Suhana Khan dan AbRam Khan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.