Selepas lebih dua dekad dikenali menerusi karya-karya balada dan pop alternatif yang dekat dengan jiwa pendengar, Aizat Amdan kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya menerusi single terbaharu berjudul “Ajar Aku”, sebuah kolaborasi bersama band post-hardcore popular, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE), “Ajar Aku” bukan sekadar sebuah kolaborasi biasa, tetapi menjadi simbol keberanian dua identiti muzik berbeza yang memilih untuk keluar daripada zon selesa demi menghasilkan sebuah karya yang jujur, segar dan bereksperimen.
Lahir Secara Organik Menerusi “Dari Studio Podcast”

Menariknya, “Ajar Aku” tercipta secara spontan ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, podcast yang dikendalikan Aizat yang memberi fokus kepada proses penghasilan lagu secara langsung bersama tetamu jemputan.
SOG yang hadir sebagai tetamu episod tersebut pada Mei tahun lalu akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif yang melahirkan lagu ini dalam tempoh rakaman podcast berlangsung.
“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri. Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya ‘Ajar Aku’ lahir secara organik daripada sesi tersebut,”-kata Aizat
Karya Tentang Ego, Penerimaan & Keberanian Untuk Terus Belajar

Dari sudut naratif, “Ajar Aku” membawa tema yang cukup dekat dengan kehidupan manusia iaitu tentang keberanian merendahkan ego demi menerima ilmu, kasih sayang dan bimbingan daripada orang di sekeliling.
Walaupun tidak merujuk kepada satu pengalaman spesifik, Aizat menjelaskan bahawa lagu ini merupakan gabungan emosi dan pemerhatian yang terkumpul sepanjang perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Ia adalah tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar.
Kadang- kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” jelasnya
Kemunculan Istimewa Yuna

Salah satu kejutan terbesar dalam “Ajar Aku” pastinya kemunculan suara istimewa daripada Yuna di penghujung lagu. Menurut Aizat, ketika proses rakaman berlangsung di Studio KGE, Yuna kebetulan berada di studio yang sama untuk menyiapkan album terbarunya sebelum diperdengarkan dengan lagu tersebut.
Menariknya, bahagian vokal wanita pada penghujung lagu asalnya hanyalah suara AI yang digunakan sebagai demo sementara.
“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” ujar Aizat
Menurut Aizat lagi, Yuna juga merupakan antara individu terawal yang mempercayai potensi lagu tersebut, termasuk memberi dorongan untuk menghasilkan video muzik (MV) rasmi.
Single “Ajar Aku” oleh Aizat Amdan x Sekumpulan Orang Gila kini boleh distrim pada bila-bila masa di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.


2 hours ago
3





![[VIDEO] Anak Pelanggan Dedah Nampak ‘Lembaga Hitam Besar’ Di Kedai Ajak Shiro](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/05/8.webp)


![[VIDEO] Nazeera Sardi Bertemu Azar Azmi, Netizen Sebak-“Semua Orang Cari Dia…”](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/05/37cf02b4-9680-4d1b-bd60-718758711b0a.webp)

![[VIDEO] Sulaiman Usop Hadir Dengan Single ‘Pergilah’](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/05/Copy-of-Feature-Image-2000-x-1240-px-2-3.webp)





































