Berita Baik Hari Pekerja 2026, Kerajaan Perkenal Elaun Pasca Cuti Bersalin

6 hours ago 7

Khabar gembira yang dinanti buat golongan ibu bekerja apabila kerajaan secara prinsip bersetuju memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) sebagai langkah tambahan bagi membantu wanita selepas tamat tempoh cuti bersalin.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 itu dilihat sebagai satu perkembangan signifikan dalam usaha memperkukuh perlindungan sosial untuk pekerja wanita di negara ini.

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita, selain menjadi pelengkap kepada kemudahan cuti bersalin sedia ada yang telah lama dinikmati penjawat awam.

YouTube video

Apa Itu Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB)?

Elaun Pasca Cuti Bersalin atau EPCB merupakan bantuan kewangan yang akan diberikan kepada pekerja wanita yang mengambil cuti tambahan sehingga 30 hari selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.

Melalui cadangan ini, pekerja layak menerima bayaran secara one-off pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita.

Pelaksanaan elaun ini bagaimanapun memerlukan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 sebelum boleh dikuatkuasakan sepenuhnya. Secara ringkas, elaun ini diwujudkan bagi memberi ruang pemulihan tambahan kepada ibu selepas bersalin tanpa terlalu dibebani tekanan kewangan.

Kenapa EPCB Jadi Perhatian?

Pengumuman ini mendapat perhatian kerana ia dilihat sebagai pengiktirafan terhadap keperluan sebenar wanita selepas bersalin.

Tempoh 98 hari cuti bersalin sering dianggap masih belum mencukupi bagi sesetengah ibu, terutama yang memerlukan pemulihan lebih panjang atau berdepan situasi tertentu seperti komplikasi selepas bersalin.

Dengan adanya EPCB, ibu bekerja mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh pemulihan dengan sokongan kewangan tambahan.

Bagaimana Pula Dengan Cuti Bersalin Penjawat Awam?

Bagi penjawat awam, kemudahan cuti bersalin sememangnya telah diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR.5.4.1. Kemudahan ini memberi ruang kepada pegawai wanita untuk membuat pilihan tempoh cuti mengikut keperluan masing-masing.

Tempoh Cuti Bersalin Penjawat Awam

Pegawai wanita layak mengambil cuti bersalin antara:

  • Minimum: 60 hari
  • Maksimum: 90 hari bagi setiap kelahiran

Jumlah keseluruhan cuti bersalin bergaji penuh pula dihadkan kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Ini bermakna pegawai boleh merancang penggunaan cuti mengikut jumlah kelahiran dan baki kelayakan yang masih ada.

Siapa Yang Layak?

Kemudahan ini terpakai kepada:

  • Pegawai tetap
  • Pegawai kontrak (contract of service)
  • Guru
  • Pegawai bukan guru dalam perkhidmatan awam Persekutuan

Kelayakan turut mengambil kira tempoh perkhidmatan terdahulu di bawah agensi kerajaan tertentu.

Jika Baki Cuti Bersalin Sudah Habis?

Bagi pegawai yang telah menggunakan keseluruhan 360 hari cuti bergaji penuh, beberapa pilihan lain masih tersedia.

Antaranya:

Bagi pegawai bukan guru:

  • Menggunakan Cuti Rehat
  • Cuti Bersalin Tanpa Gaji (CBTG)
  • Cuti Menjaga Anak (CMA)

Bagi guru:

  • Cuti Bersalin Separuh Gaji (14 hari)
  • CBTG
  • CMA

Pilihan ini memberi fleksibiliti kepada penjawat awam mengikut situasi masing-masing.

Elaun Sepanjang Cuti Bersalin

Sepanjang tempoh cuti bersalin yang masih dalam kelayakan, penjawat awam terus menerima:

  • Gaji pokok penuh
  • Elaun tetap
  • Kemudahan emolumen seperti biasa

Namun, elaun tertentu yang bergantung kepada kehadiran atau pelaksanaan tugas mungkin dibayar secara prorata.

Cuti Isteri Bersalin Untuk Bapa

Selain ibu, penjawat awam lelaki juga layak menikmati Cuti Isteri Bersalin selama 7 hari berturut-turut. Kemudahan ini boleh digunakan sehingga lima kali kelahiran sepanjang tempoh perkhidmatan.

Apa Maksud Pengumuman EPCB Untuk Masa Depan?

Bagi Murai, jika dilaksanakan, EPCB bakal menjadi satu lagi lapisan perlindungan sosial yang lebih progresif untuk wanita bekerja di Malaysia. bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah memberi mesej jelas bahawa aspek kesejahteraan ibu selepas bersalin semakin diberi perhatian serius. Buat masa ini, orang ramai masih menantikan butiran lanjut termasuk mekanisme permohonan, syarat rasmi dan tarikh pelaksanaan selepas pindaan undang-undang dimuktamadkan.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |