Masuk Tandas Ingat Kekatu, Rupanya Charlie. Kehadiran Serangga Berbisa Cetus Kebimbangan Orang Ramai

11 hours ago 6

Kehadiran serangga dikenali sebagai “Charlie” di sebuah kawasan kemudahan awam baru-baru ini mencetuskan rasa kurang senang apabila seorang individu berkongsi pengalaman terserempak dengan serangga tersebut di dalam tandas awam.

Menurut perkongsian tular di Thread, individu terbabit pada awalnya menyangka serangga yang melekat pada dinding dan sinki hanyalah kekatu memandangkan keadaan ketika itu hujan serta kawasan diterangi lampu terang.

Namun selepas diamati, serangga tersebut dipercayai adalah Charlie, sekali gus membuatkan ramai berasa seram untuk menggunakan fasiliti berkenaan.

Lebih membimbangkan, ada yang mendakwa serangga itu turut ditemui di kawasan yang sering digunakan orang ramai untuk beribadah dan berehat.

Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan sekiranya ada individu terpijak atau tersentuh tanpa sengaja sehingga menyebabkan kesan serius pada kulit.

Bukan Semut, Tetapi Serangga Beracun

Walaupun sering dipanggil “semut Charlie”, serangga ini sebenarnya bukan daripada spesies semut.

Ia merupakan sejenis kumbang rove daripada genus Paederus yang terkenal di beberapa negara Asia Tenggara kerana mampu menyebabkan iritasi kulit yang teruk.

Charlie tidak menggigit atau menyengat manusia.

Namun, cecair toksik dikenali sebagai pederin yang terdapat pada tubuhnya boleh menyebabkan kesan melecur sekiranya serangga itu ditekan atau dihancurkan pada kulit.

Mangsa biasanya akan mengalami rasa gatal, pedih dan kemerahan sebelum muncul lepuhan seperti terkena minyak panas dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Dalam kes tertentu, bisa tersebut juga boleh merebak ke kawasan lain jika disentuh tanpa dibersihkan dengan betul.

Ramai Kongsi Pengalaman Ngeri

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman pernah terkena bisa Charlie terutama ketika menetap di asrama, kawasan sawah atau musim hujan.

Ada yang menggambarkan kesakitan dialami sebagai “pedih berdenyut” dan mengambil masa berminggu untuk pulih sepenuhnya.

Malah, terdapat juga individu yang mendakwa terkena cecair berbisa itu pada bahagian mata sehingga mengalami kesakitan melampau ketika melakukan rutin harian.

Selain itu, beberapa pengguna turut berpendapat masalah kehadiran Charlie sukar dihapuskan sepenuhnya jika punca atau habitat asalnya tidak dikenal pasti.

Serangga ini lazimnya tertarik kepada cahaya putih terang dan aktif pada waktu malam, terutama dalam keadaan cuaca lembap serta selepas hujan.

via Thread /@yazeed_akhyar
via Thread /@syafizahzamzury
via Thread /@masamira.khalid

Orang Ramai Diminta Lebih Berhati-Hati

Susulan aduan tersebut, pihak berkaitan memaklumkan isu berkenaan telah dipanjangkan kepada pengurusan untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memukul atau menghancurkan Charlie jika terlihat pada pakaian atau kulit.

Sebaliknya, serangga itu sebaiknya ditiup perlahan atau dialihkan menggunakan tisu dan kertas.

Jika terkena cecair daripada serangga tersebut, kawasan terlibat perlu segera dicuci menggunakan sabun dan air bersih bagi mengurangkan risiko iritasi serius.

Fenomena kehadiran Charlie bukanlah perkara baharu, namun situasi ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai aspek kebersihan, penyelenggaraan dan keselamatan fasiliti awam terutama ketika musim hujan.

Dalam keadaan ramai pengguna menggunakan kemudahan bersama setiap hari, langkah pencegahan awal dilihat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |