Pelakon dan penyanyi popular Bella Astillah nampaknya bukan sahaja sibuk dengan kerjaya seni, malah dalam diam kini menjadi wajah rasmi jenama kopitiam terkenal, Hock Kee Kopitiam. Kehadiran Bella di Kota Bharu baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila beliau tampil sebagai Duta Jenama pertama Hock Kee Kopitiam sempena pembukaan rasmi cawangan baharu mereka di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan.
Majlis pembukaan itu turut disempurnakan oleh beberapa tetamu kehormat termasuk En. Mohd Azwan Bin Ab Rahman, Pengarah Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, bersama wakil AEON serta pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng. Pembukaan ini sekali gus menjadi simbol pengembangan besar jenama tersebut ke Pantai Timur.
Hubungan rapat dengan Hock Kee Kopitiam
Bella sebenarnya sudah lama mempunyai hubungan rapat dengan Hock Kee Kopitiam.
Sebelum dilantik secara rasmi sebagai duta jenama, beliau pernah tampil sebagai ‘Friend of Hock Kee’ ketika pembukaan salah satu cawangan mereka. Kini, dengan personaliti mesra dan mudah didekati, Bella dilihat sangat serasi membawa identiti jenama yang mengetengahkan cita rasa tempatan Malaysia.
Menurut pengasasnya, Nick Ng, pengembangan ke Kelantan merupakan langkah yang cukup bermakna buat mereka. Katanya, makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira negeri dan latar belakang, lebih-lebih lagi apabila sajian yang ditawarkan benar-benar dekat dengan selera rakyat tempatan.
Menariknya, cawangan baharu di Kota Bharu ini menawarkan pelbagai menu popular seperti Nasi Lemak Banjir, Laksa Kari, Nasi Ayam Kukus dan Kuey Teow Goreng Sate.
Turut menjadi perhatian ialah hidangan klasik Johor seperti Laksa Johor Asli, Soto Ayam bersama Nasi Impit serta Lontong yang selama ini cukup sinonim dengan jenama tersebut.
Sejak ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 2018, Hock Kee Kopitiam terus berkembang pesat di seluruh negara.
Selepas membuka cawangan pertama di Lembah Klang pada tahun 2023, jenama ini turut menerima pensijilan halal pada tahun 2024 dan kini mempunyai visi untuk memperluaskan lebih banyak cawangan menjelang penghujung 2026.
Apa yang membuatkan jenama ini terus mendapat tempat di hati pelanggan ialah komitmen mereka menyediakan hidangan segar yang dimasak atas pesanan tanpa menggunakan makanan siap atau sejuk beku.
Pendekatan itu menjadikan pengalaman menikmati makanan lebih autentik dan dekat dengan budaya rakyat Malaysia.
Nampaknya, kombinasi populariti Bella Astillah dan aura nostalgia makanan tempatan memang menjadi ‘resepi’ yang cukup menjadi untuk Hock Kee Kopitiam kali ini.

17 hours ago
9

















![[VIDEO] Aizat & Sekumpulan Orang Gila Pertaruh Eksperimen Bunyi Baharu Menerusi ‘Ajar Aku’](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/05/Copy-of-Feature-Image-2000-x-1240-px-7-1.webp)































