[VIDEO] Adam Nuqris Ukir Bab Baharu Dengan ‘Alasan’

3 hours ago 2

Dalam era digital yang pantas melahirkan bakat baharu, hanya segelintir yang mampu melangkah keluar daripada ruang viral dan benar-benar membina identiti seni yang berkekalan. Adam Nuqris kini membuktikan bahawa perjalanan itu bukan sekadar kemungkinan, tetapi sedang berlaku.

Selepas mencuri perhatian lebih 68,000 pengikut di TikTok menerusi lagu-lagu cover yang penuh jiwa, Adam kini melangkah ke fasa paling signifikan dalam perjalanan seninya, pelancaran single debut berjudul “Alasan”.

Dikenali dengan tona vokal “serak-serak basah” yang penuh emosi serta kebolehan merentas genre daripada hip-hop hingga rock, Adam muncul sebagai antara wajah baharu yang paling menarik dalam landskap hiburan tempatan. Kehadirannya mula dirasai apabila nyanyian cover karya-karya Zynakal dan Yonnyboii mendapat perhatian meluas, termasuk pengiktirafan daripada artis asal itu sendiri.

Segalanya Bermula Dari Rakaman 30 Saat

Kisah “Alasan” bermula secara tidak dijangka, sebuah rakaman 30 saat yang dirakam secara spontan ketika sesi jamming di studio dan dimuat naik ke TikTok.

Respons yang diterima bukan sahaja mengejutkan, malah membuka jalan kepada sesuatu yang lebih besar dan bermakna.

“Saya ingat itu hanya momen kecil pada mulanya. Tapi apabila saya lihat orang mula benar-benar ‘connect’ dengan klip itu, saya sedar mungkin ini bukan sekadar satu rakaman spontan.

Mungkin ini adalah cerita yang perlu disempurnakan menjadi sesuatu yang lebih besar. Dari situ, ‘Alasan’ mula berkembang menjadi sebuah karya penuh yang datang daripada emosi yang sangat jujur,” kongsi Adam

“Alasan” — Antara Luka, Kejujuran & Keberanian Melepaskan

Dicipta oleh Kidd Santhe, “Alasan” turut ditulis bersama oleh Adam sendiri, Saixse serta Altimet (Mambang). Hasil kolaborasi ini melahirkan sebuah karya hip-hop dengan sentuhan “trap” moden yang bukan sahaja segar dari segi bunyi, tetapi juga sarat dengan emosi yang mendalam.

Berbeza daripada naratif patah hati yang klise, “Alasan” mengangkat tema yang lebih introspektif, tentang keletihan emosi, kebenaran yang sukar diterima dan keberanian untuk memilih diri sendiri.

Visual Yang Menghidupkan Cerita

Mengiringi pelancaran ini, video muzik (MV) rasmi “Alasan” diarahkan oleh pengarah kreatif Kripxen, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan SonaOne dan Alyph.

Dengan pendekatan visual sinematik yang simbolik dan beremosi, MV ini memperkukuh lagi naratif “Alasan”, ianya bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk dirasai.

Alasan” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama serta YouTube.

YouTube video

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |