Siti Nurhaliza Buka Suara Pasal ‘Sound System’- “Terpulang Kepada Masing-masing”

13 hours ago 10

Nama besar seperti Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memang terkenal dengan setiap persembahan yang mementingkan kualiti. Bukan sekadar vokal yang mantap, tetapi pengalaman penonton secara menyeluruh  daripada visual sehinggalah ke sistem bunyi.

Terbaharu, penyanyi nombor satu negara itu tampil memberikan penjelasan selepas menerima pertanyaan daripada peminat yang kagum dengan kejelasan audio pada konsert terdahulu. Menariknya, peminat berkenaan memaklumkan walaupun mereka duduk di barisan atas dan agak jauh dari pentas, muzik masih kedengaran jelas dan padu.

“Best Tokti . Walaupun kita block 307 .. sound is So clear .” tulis peminat

VIA THREADS

Menurut Siti, perkara itu bukan terjadi secara kebetulan. Ia sebenarnya hasil pelaburan tambahan yang dibuat pihak penganjur demi memastikan semua yang hadir menikmati pengalaman sama rata.

“Alhamdulillah, mungkin nak clearkan sebab ada yang bertanya… untuk konsert legasi di setiap level tempat duduk di stadium kami request @soundinnovations.my tambah speaker untuk pastikan penonton dapat dengar muzik dengan jelas. Ini memang penting… memang ada kos tambahan & terpulang kepada masing-masing,” tulisnya di THREADS

Hakikatnya, siapa yang pernah menyaksikan sendiri persembahan mega beliau pasti faham kenapa aspek ini diberi perhatian. Aura luar biasa Biduanita Negara itu sekali lagi terbukti apabila kira-kira 65,000 peminat memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love.

Tambah menarik, pada dua segmen terakhir konsert, Siti mengajak peminat bangun dan menari beramai-ramai ala joget lambak, sekali gus menjadikan stadium ikonik itu hingar-bingar. Dari bawah sampai ke tingkat paling atas, semuanya larut dalam momen yang sama  dan di situlah pentingnya sistem bunyi yang benar-benar sampai ke hati penonton.

Perkongsian tersebut turut mendapat reaksi positif ramai yang memuji sikap profesional dan keprihatinan penyanyi kesayangan ramai itu. Tidak hairanlah setiap kali beliau mengadakan persembahan berskala besar, aspek teknikal seperti audio sering menjadi antara perkara yang dipuji.

Bagi peminat, inilah antara sebab mengapa setiap konsert figura hebat ini sentiasa meninggalkan memori manis bukan sahaja kerana lagu, tetapi juga pengalaman mendengar yang memuaskan.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |