“Berhenti cakap mengarut fasal suami saya.” Itu luahan jujur dan tegas daripada pelakon Siti Elizad apabila suaminya, Shamsul Baharin Abdul Rahman, menjadi sasaran kecaman netizen yang mempertikaikan kemampuannya memberi kemewahan dalam rumah tangga. Elizad, 41, menyifatkan kebahagiaan tidak terletak pada nilai harta benda, tetapi lebih kepada ketenangan dan keikhlasan dalam berkongsi hidup.
Bagi Elizad atau nama penuhnya Siti Elizad Mohd. Sharifuddin, apa yang dimiliki bersama suaminya kini sudah cukup membahagiakan. Tanpa berselindung, dia meluahkan rasa syukur atas kehidupan yang mungkin sederhana di mata orang lain, namun sangat bermakna buat dirinya. “Apa yang dia (suami) sediakan, saya dah gembira. Teratak kecil kami, gelak-gelak sepanjang naik motor, naik tongkang, itu semua dah buat saya bersyukur. Hidup kami tak berlumba dengan orang lain sebab hidup ini bukan satu pertandingan,” tulisnya dalam satu hantaran InstaStory.
Pelakon drama popular Teman Lelaki Upahan itu turut menyentuh mengenai persepsi masyarakat yang kadangkala mudah menilai hanya berdasarkan luaran tanpa memahami realiti yang dilalui seseorang. Baginya, hidup bukan tentang bersaing dengan orang lain, tetapi bagaimana seseorang itu menghargai apa yang ada di depan mata. “Terlihat biasa di mata awak tetapi sangat luar biasa di mata saya. Hidup saya tidak mewah macam awak. Tetapi alhamdulilah lebih dari cukup apa yang Allah bagi,” katanya, menekankan bahawa kekayaan sebenar ialah ketenangan jiwa.
Malah, Elizad juga berkongsi bahawa sepanjang kehidupannya, dia dan suami telah bertemu ramai individu yang hebat dan rendah diri, namun tidak pernah sekalipun mereka merasa diperlekehkan oleh sesiapa. “Ramai sahaja orang hebat-hebat kami jumpa dan merendah diri tetapi tiada pula yang sampai pandang rendah pada kami,” tambahnya lagi. Dalam nadanya yang tenang namun penuh makna, Elizad menyeru agar masyarakat tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap orang lain hanya kerana mereka tidak hidup mengikut standard tertentu.
Luahan itu dibuat sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-41, di mana beliau turut berkongsi momen manis bersama suami dalam satu konvoi motosikal. Perjalanan yang dilihat ringkas namun penuh erti itu menjadi simbol kasih sayang yang tidak bergantung kepada kemewahan semata-mata. Sejak mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015 dalam satu majlis tertutup bersama keluarga terdekat, pasangan ini terus melayari kehidupan secara sederhana tetapi penuh dengan rasa syukur dan kasih yang tulus.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.