Bersedia untuk menyaksikan kisah penuh semangat, warisan dan keberanian dalam filem GAYONG, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 8 Mei 2025. Filem ini bukan sekadar naskhah aksi, tetapi juga sebuah penghormatan kepada tokoh silat legenda, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) — pengasas Silat Seni Gayong Malaysia.
Beto Kusyairy Bawa Karisma ADMAR
Filem arahan Faisal Ishak ini menggandingkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian. Menariknya, Beto membawa watak utama sebagai ADMAR, dengan lakonan yang menyentuh jiwa dan membangkitkan semangat pendekar di dalam diri. Pasti menjadikan penonton dibelenggu dengan pelbagai perasaan.
Dari Layar ke Hati– Warisan Silat Dipersembahkan Dengan Penuh Jiwa
Pengarah, Faisal Ishak menegaskan bahawa GAYONG bukan sekadar filem aksi, tetapi sebuah karya yang merangkumi semangat perjuangan, falsafah persilatan dan pengorbanan. Setiap pelakon menjalani latihan intensif bersama jurulatih Silat Gayong dan Pengarah Aksi tersohor, Yayan Ruhian, untuk memastikan setiap gerakan silat dipersembahkan dengan autentik dan berjiwa.
Dapat Sokongan Keluarga ADMAR & PSSGM
Proses penyelidikan bermula sejak Disember 2023 dan mendapat sokongan langsung daripada keluarga ADMAR serta kerjasama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM). Ini menjadikan GAYONG bukan hanya sahih dari segi sejarah, tetapi juga dihasilkan dengan penuh penghormatan terhadap legasi ADMAR.
Ulasan Murai.my
Sebagai portal hiburan yang mengikuti perkembangan filem tempatan secara dekat, Murai.my menyifatkan GAYONG sebagai sebuah filem ‘game-changer’ dalam industri filem Malaysia. Ia bukan sekadar membawa aksi, tetapi juga membina naratif pahlawan Melayu dengan pendekatan filem yang hebat.
Murai.my memuji keberanian produksi membawa kisah tokoh sebenar ke layar perak, apatah lagi dengan pelakon yang benar-benar memahami jiwa karakter yang dibawa. Visual sinematografi oleh Haris Hue serta skor muzik latar menyemarakkan lagi babak-babak penuh emosi dan perlawanan.
Paling menonjol, adalah persembahan Beto Kusyairy yang begitu telus dan mengesankan, menjadikan watak ADMAR bukan hanya sebagai pejuang silat, tetapi juga sebagai ikon bangsa yang mengangkat maruah dan budaya Melayu. Murai.my yakin, koreografi perlawanan dari pengarah aksi GAYONG, Yayan Ruhian bakal meninggalkan kesan yang mendalam buat para penonton.

Ayuh Bangkitkan Semangat Gayong di Pawagam!
Dalam deretan tayangan hebat bulan Mei, GAYONG muncul sebagai filem tempatan yang berani tampil berbeza — mempersembahkan kisah silat sebagai lambang warisan, semangat, dan jati diri bangsa. Saksikan GAYONG bermula 8 Mei 2025 dan hayati perjuangan seorang legenda yang telah menabur jasa untuk tanah air.
Jika bukan kita, siapa lagi yang harus mengangkat martabat bangsa ?
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.