Rasai Nikmat Kayuhan Ala Zaman Rasulullah, Amar Baharin Siap Infak Duit Derma di Masjid Nabawi

1 day ago 13

Menunaikan amanah para penyumbang yang berhati mulia, pelakon Amar Baharin meluahkan rasa syukur apabila berpeluang menyerahkan pek makanan kepada para jemaah serta orang ramai di Masjid Nabawi, Madinah. Amar yang kini berada di Tanah Suci bersama rakannya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, berkata sumbangan itu adalah hasil infak ramai dermawan yang menyokong Misi Journey to Tanah Haram mereka.

Menurut Amar, segala wang infak yang dikumpulkan sejak dari sebelum perjalanan bermula, semasa misi kayuhan berlangsung, sehinggalah mereka tiba di Madinah telah disalurkan secara amanah melalui sebuah restoran tempatan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan di sekitar Masjid Nabawi.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik ke Instagram, Amar menulis, “Alhamdulillah semua duit infak yang diberi sebelum mula perjalanan, di tengah perjalanan dan sesudah sampai di Tanah Haram Madinah telah saya infakkan menerusi Restoran @paktam.madinah untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi.”

Pelakon berusia 39 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang yang sudi berkongsi rezeki dalam misi penuh makna tersebut. Baginya, setiap sen yang diinfaqkan adalah pelaburan abadi yang akan kembali kepada pemiliknya dalam bentuk pahala yang berkekalan. “Semoga menjadi ladang pahala buat semua yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah,” katanya dengan penuh rasa rendah diri.

Dalam ruangan komen, ramai netizen memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar urusan Amar dan Qobin di Madinah dipermudahkan. Ada juga yang menyatakan rasa kagum dengan usaha tersebut dan berharap ia menjadi inspirasi buat lebih ramai umat Islam untuk menyumbang ke jalan kebaikan. Seorang pengikut menulis, “Alhamdulillah, akan datang mesti ramai akan buat begini. Rasa nikmat tu.” Manakala seorang lagi berkata, “Madinah adalah tempat terbaik untuk healing. Tenang sahaja. Mesti rasa nak datang lagi.”

Misi kayuhan Amar dan Qobin yang bermula sejak 27 April lalu akhirnya sampai ke kemuncaknya apabila mereka selamat tiba di Masjid Nabawi pada jam 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu Malaysia) pada Khamis lalu. Misi berbasikal merentas pelbagai negara itu dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sekali gus menjadi simbol perjalanan penuh cabaran yang berakhir dengan keberkatan di Tanah Suci.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |