Konsert Malika Mega Music Festival yang dianjurkan oleh EMT Ventures berlangsung meriah di MAEPS, Serdang, Selangor pada malam Sabtu.
Berjaya Pukau 3,000 Penonton
Kira-kira seramai 3,000 pengunjung secara keseluruhan yang hadir memeriahkan acara berkenaan. Selain persembahan artis, pelbagai jualan makanan dan minuman menjadi salah satu tarikan buat pengunjung yang hadir pada festival kali ini. Malah ruangan santai untuk makan mahupun berehat sementara menunggu persembahan artis kesayangan mereka turut disediakan.

Antara kumpulan yang membuat persembahan pada malam tersebut ialah Conflict Crisis, Krusty, No Good dan Steeltoe Solutions.
Iqbal M, OAG, Bunkface & NIDJI Hangatkan Suasana Malam Konsert!
Tidak hanya itu, kehadiran Iqbal M, OAG, Bunkface serta Nidji mengangatkan lagi suasana konsert yang berakhir pada jam 1 pagi.

Band indie rock Malaysia, OAG yang dianggotai Radhi sebagai vokalis turut mengubat rindu peminat dengan ‘lagu-lagu legend’ seperti Slumber, Generasiku, Merpati Putih, Sentuhan, dan banyak lagi.

Konsert kemudian diteruskan dengan persembahan kumpulan terkenal Indonesia NIDJI, yang membawakan lagu-lagu hits seperti Disco Lazy Time, Bolehlah Ku Berharap, Sumpah Dan Cinta Matiku, Teman Sejati, Zayang-Zayang, dan Hapus Aku.

Band kegilaan ramai, BUNKFACE menutup tirai Malika Music Fest dengan persembahan energetik menerusi lagu-lagu seperti Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Situasi, Panik, dan Revolusi.
Konsert Malika Mega Music Festival kali ini dihoskan oleh pengacara, Kelly Azman.
Penaja utama bagi festival kali ini adalah MOSS, Yeo’s, dan Halo Optical. Acara ini turut disokong oleh rakan kongsi seperti SSSION Sdn Bhd, Mega Media Marketing & Management Sdn Bhd, Surewin Entertainment Sdn Bhd, MXE Entertainment Sdn Bhd, Rhythm Revolt, Wolf Strike Brothers, Kopi Dan Studio, dan Neptune Presents (penyelaras Nyala Fest).
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.