Panggilan Telefon Tak Dijawab, Kesunyian Anna Jobling Undang Sebak Dalam Iklan Raya PETRA

7 hours ago 7

Setiap kali Ramadan menjengah dan Syawal semakin hampir, iklan raya sering hadir dengan kisah yang menyentuh jiwa. Namun tahun ini, kemunculan Anna Jobling dalam iklan raya PETRA 2026 berjudul “Tak Terjawab” benar-benar meninggalkan kesan yang sukar dilupakan.

MURAI tengok, kali ini bukan sekadar visual yang cantik atau jalan cerita biasa tetapi emosi yang ‘kena’ tepat ke hati.

Sunyi Yang Berulang, Panggilan Yang Tak Pernah Dijawab

Dalam iklan ini, Anna membawa watak Aisha, seorang wanita mualaf yang menjalani kehidupan penuh kesunyian. Setiap pagi, rutinnya sama mendail satu nombor telefon yang tidak pernah berjawab.

Panggilan itu bukan sekadar kebiasaan, tetapi simbol kerinduan yang tidak pernah padam.

Di sebalik nombor tersebut, tersimpan kenangan bersama Sofea, sahabat yang menjadi ‘cahaya’ dalam hidupnya. Sofealah yang memperkenalkan Aisha kepada keindahan Ramadan, mengajarnya makna Syawal, dan membuka pintu hati untuk mengenali Islam.

Perpisahan Yang Tidak Pernah Sembuh

Namun, takdir berkata sebaliknya. Sofea pergi terlalu awal selepas bertarung dengan kanser. Dalam keadaan tubuh yang semakin lemah, dia tetap menjadi sumber kekuatan dan kasih sayang buat Aisha. Pemergian itu bukan sekadar kehilangan seorang sahabat tetapi seolah-olah sebahagian daripada hidup Aisha turut ‘hilang’ bersama.

Sebab itu, panggilan yang tidak pernah dijawab itu masih diteruskan. Bukan kerana tidak tahu hakikat, tetapi kerana hati belum bersedia melepaskan.

Aisha akhirnya sedar kehilangan tidak bermakna kita keseorangan selamanya. Ada kasih sayang lain yang hadir, mungkin bukan dari keluarga darah, tetapi dari insan yang memilih untuk peduli.

Barisan Pelakon Bukan Biasa-Biasa

Menariknya, iklan ini turut menampilkan figura penting negara seperti Fadillah Yusof, selain Abdul Rahman Mohamad dan Mad Zaidi Mohd Karli.

Kehadiran mereka bukan sekadar ‘cameo’, tetapi menguatkan lagi mesej kemanusiaan dan kebersamaan yang ingin disampaikan.

Raya Bukan Sekadar Darah, Tapi Rasa

Kalau nak diringkaskan, “Tak Terjawab” bukan cerita tentang kehilangan semata-mata. Ia tentang bagaimana kasih sayang boleh ‘hidup’ walaupun seseorang itu telah tiada.

Dan paling penting, Raya bukan hanya tentang keluarga yang kita lahirkan bersama, tetapi juga tentang keluarga yang kita temui melalui persahabatan, empati dan kemanusiaan. Jujurnya, MURAI rasa ini antara iklan raya yang ‘slow burn’ tak terlalu dramatik, tapi bila habis tengok… terus rasa sebak.

YouTube video

Kadang-kadang, yang paling menyentuh itu bukan yang paling kuat—tetapi yang paling jujur.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |