Satu perkongsian di Thread baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila seorang wanita berkongsi detik cemas yang berlaku di rumahnya sekitar jam 1.30 pagi.
Ketika itu, dia dan anaknya sudah lena tidur. Mujur suaminya masih berjaga dan mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila lampu di dalam rumah berkelip-kelip, manakala penghawa dingin hidup dan mati secara tidak stabil.
Situasi tersebut pada awalnya disangka gangguan elektrik biasa. Tetapi kelihatan percikan api seperti bunga api bersama bau hangit yang semakin kuat datang dari kotak fius.
Percikan Api Dari Fius, Keadaan Bertukar Cemas
Tidak lama kemudian, asap mula kelihatan dan api muncul dari bahagian fius utama berwarna hitam.
Pada ketika itu, pasangan berkenaan segera mematikan penghawa dingin dan lampu, hanya membiarkan kipas berfungsi kerana anak mereka sedang tidur.
Namun percikan api masih berlaku.
Dalam keadaan panik, si ibu bersiap sedia untuk menyelamatkan anak sekiranya keadaan menjadi lebih buruk. Suaminya pula menghubungi tuan rumah yang menasihatkan supaya kepala fius dicabut segera kerana ia berisiko tinggi.
Tuan rumah akhirnya datang sendiri ke lokasi sekitar jam 2 pagi untuk mencabut fius berkenaan.

TNB Datang 30 Minit Kemudian
Pasangan itu kemudian menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tidak menyangka talian kecemasan beroperasi 24 jam.
Sekitar jam 2.30 pagi, petugas TNB tiba dan menggantikan fius yang rosak. Selepas itu, bekalan elektrik kembali stabil dan keadaan kembali selamat.
“Kalau semua dah tidur masa tu, tak tahu apa jadi,”
Kongsi wanita tersebut yang meluahkan rasa syukur kerana kejadian disedari lebih awal.
Ramai Kongsi Nasihat Penting
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen mengambil peluang untuk berkongsi peringatan dan pengalaman masing-masing.
Ada yang menasihatkan supaya segera ‘trip’ suis utama di Distribution Board (DB) sekiranya berlaku percikan atau bekalan tidak stabil, selain mengurangkan penggunaan peralatan elektrik berat seperti penghawa dingin.
via Thread /@fareenarishaBeberapa individu turut menjelaskan bahawa TNB hanya bertanggungjawab sehingga had meter sahaja. Sekiranya masalah berpunca daripada pendawaian dalaman rumah, pemilik perlu mendapatkan khidmat wireman bertauliah.
Dalam masa sama, ada yang berkongsi bahawa rumah jenis single phase dengan penggunaan elektrik tinggi seperti penghawa dingin, peti sejuk dan penapis air yang beroperasi 24 jam berisiko mengalami bebanan tidak stabil.
via Thread /@ayuzshahz16Mereka mencadangkan agar pemilik mendapatkan nasihat profesional sama ada perlu menaik taraf kepada sistem tiga fasa.
Tidak kurang juga yang mengingatkan bahawa pendawaian lama boleh menjadi longgar dan berbahaya jika tidak diperiksa secara berkala.
via Thread /@pokwaeznetPeringatan Buat Semua
Insiden ini menjadi peringatan bahawa simptom seperti lampu berkelip, bau hangit dan percikan kecil bukan perkara remeh.
- Sekiranya berlaku situasi serupa:
- Segera matikan suis utama (jika selamat berbuat demikian)
- Kurangkan penggunaan peralatan elektrik berat
- Hubungi talian kecemasan TNB di 15454
- Dapatkan pemeriksaan wireman bertauliah untuk pendawaian dalaman
Keselamatan elektrik bukan isu kecil. Kadang-kadang tanda awal itu halus, tapi risikonya besar.
Nasib baik tindakan pantas diambil. Kalau terlepas pandang, mungkin ceritanya berbeza.

13 hours ago
7















![[VIDEO] Adi Putra Terjebak Buat Trend TikTok, Peminat Tak Keruan!](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/02/Copy-of-Feature-Image-2000-x-1240-px-3-1.webp)

































