Kugiran retro moden kesayangan ramai, MASDO, meraikan ulang tahun ke-10 perjalanan seni mereka dengan cara yang cukup unik dan penuh kejutan menerusi acara khas bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” yang berlangsung pada 30 April 2025 di Saloma, Kuala Lumpur.
Mempersembahkan Mini Showcase

Lebih 200 peminat dan rakan media hadir bagi memeriahkan malam yang penuh nostalgia itu.
Sebelum acara, ahli kumpulan MASDO seperti Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri telah memuat naik hantaran kriptik di Instagram, mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat yang akhirnya terjawab malam itu.
Sebagai tanda penghargaan, MASDO mempersembahkan mini showcase dengan lagu-lagu hits seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, dan “Janji Manis” yang mengimbau kenangan manis buat para peminat.
Kemuncak acara menyaksikan pengumuman rasmi konsert “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun” dengan cara dramatik—mereka mendedahkan poster konsert di bangunan MATIC disertai letupan bunga api.
Konsert Pada 30 Ogos 2025

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di lokasi baharu, Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, yang mampu memuatkan 7,000 penonton, menjadikan MASDO artis pertama mengadakan konsert di sana.
Tiket konsert boleh dipra-daftar mulai 30 April hingga 1 Mei untuk mendapatkan harga Early Bird RM128.
Harga biasa adalah RM148 (Rockzone Free Standing) dan RM198 (Cat 1 Free Seating).
Acara ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, yang berpengalaman luas dalam menganjurkan konsert besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, menyatakan hasrat mereka untuk menyokong artis tempatan seperti MASDO yang mempunyai legasi kukuh.
Konsert ini turut mendapat sokongan rasmi daripada Warner Music, ERA, Sinar, Gegar, Astro Gempak serta lokasi rasmi, Saloma Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi MASDO dan Hitman Solutions.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.