Hafaz 30 Juzuk Boleh Dapat RM4,500, MAIWP Tawar Insentif Lumayan Untuk Para Huffaz

7 hours ago 5

Berita baik buat para huffaz di Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuka permohonan Skim Bantuan Galakan Hafaz Al-Quran bagi tahun 2026. Skim ini diwujudkan khusus untuk memberi galakan dan penghargaan kepada penghafaz al-Quran di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selain ingin terus memartabatkan serta menjaga kesucian kitab suci Al-Quran. Bagi yang layak dan lulus penilaian, insentif kewangan akan diberikan mengikut kategori hafazan yang dipohon.

Permohonan dibuka sehingga 23 Mac 2026 dan permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan. Jadi, siapa yang dah cukup juzuk tu, dah boleh mohon.

Jumlah Insentif Ditawarkan

Berikut adalah kadar insentif mengikut kategori hafazan:

  • 1–5 Juzuk: RM750
  • 1–10 Juzuk: RM1,500
  • 1–20 Juzuk: RM3,000
  • 1–30 Juzuk: RM4,500

Kadar ini menunjukkan peningkatan yang signifikan selaras dengan tahap komitmen dan usaha yang dicurahkan oleh para huffaz. Semakin banyak juzuk yang dihafaz, semakin tinggi penghargaan berbentuk insentif kewangan yang diberikan.

Secara tidak langsung, struktur insentif ini memberi motivasi berterusan kepada para penghafaz untuk menambah hafazan dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Semakin tinggi jumlah hafazan, semakin besar insentif yang diterima, tertakluk kepada kelulusan dan penilaian panel.

Syarat Permohonan

Pemohon perlu memenuhi syarat berikut:

  • Beragama Islam dan warganegara Malaysia
  • Bermastautin sekurang-kurangnya setahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan
  • Permohonan dibuat secara individu
  • Akan dinilai oleh Panel Tasmi’ MAIWP

Syarat utama yang ditetapkan termasuklah beragama Islam dan warganegara Malaysia serta telah bermastautin sekurang-kurangnya setahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan. Permohonan perlu dibuat secara individu dan pemohon yang menepati syarat akan dipanggil untuk dinilai oleh Panel Tasmi’ MAIWP.

Kategori Terbuka:

  • Juzuk 1–5
  • Juzuk 1–10
  • Juzuk 1–20
  • Juzuk 1–30

Bagi permohonan kali pertama, pemohon bebas memilih kategori juzuk yang ditawarkan. Namun untuk permohonan ulangan, kategori yang sama seperti sebelumnya tidak akan dipertimbangkan kecuali bagi kategori 1 hingga 30 juzuk, iaitu tahap tertinggi. Terdapat juga kategori Juzuk Amma yang dibuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah selain aliran agama.

Permohonan perlu dibuat secara individu dan pemohon yang menepati syarat akan dipanggil untuk dinilai oleh Panel Tasmi’ MAIWP.

Cara Memohon

Pemohon boleh:

Memuat turun borang di Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Nacol) atau di laman web rasmi  MAIWP 

Mendapatkan borang di:

  • Kaunter Agihan Zakat, Aras 3, Bangunan Daruzzakah Kuala Lumpur
  • Semua Pusat Agihan Zakat (PAZA)
  • MAIWP Cawangan Putrajaya
  • MAIWP Cawangan Labuan

Borang yang lengkap perlu dihantar ke kaunter agihan zakat MAIWP atau mana-mana cawangan PAZA di Wilayah Persekutuan.

Pada pandangan Murai, skim ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi satu bentuk pengiktirafan rasmi kepada huffaz yang istiqamah menjaga hafazan. Dalam kesibukan dunia hari ini, usaha menghafaz al-Quran sehingga 30 juzuk bukan sesuatu yang mudah. Jadi kalau dah cukup syarat, jangan tangguh-tangguh. Rezeki datang pada yang bersedia.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |