Kalau sebelum ini kita mengenali ia sebagai pentas fesyen yang eksklusif dan bergaya, tahun ini AEON Malaysia tampil dengan nafas yang jauh lebih berani. AEON Festive Preview (AFP) 2026 bukan lagi sekadar acara memperagakan koleksi pakaian sempena musim perayaan, sebaliknya berubah menjadi sebuah platform runcit perayaan yang menyeluruh dan lebih dekat dengan emosi pelanggan.
Apa yang benar-benar membezakan edisi kali ini ialah transformasinya daripada konsep pertunjukan di satu lokasi kepada model pengaktifan pop-up di pelbagai cawangan. MURAI nampak, langkah ini cukup signifikan. AFP kini tidak lagi eksklusif di satu tempat, tetapi “turun padang” mendekati komuniti di seluruh negara. Setiap lokasi diberi ruang untuk menyesuaikan aktiviti mengikut demografi setempat, menjadikan pengalaman itu lebih relevan dan terasa peribadi.
Kelainan paling ketara tahun ini juga terletak pada skopnya yang diperluaskan. Jika dahulu tumpuan terarah kepada fesyen, kini AFP 2026 menggabungkan fesyen, barangan isi rumah, gaya hidup, kecantikan dan makanan dalam satu perjalanan persiapan perayaan yang lengkap. Ia bukan lagi tentang membeli sepasang baju Raya semata-mata, tetapi tentang mencipta suasana daripada menghias rumah, memilih wangian dan juadah, sehinggalah melengkapkan gaya diri. Pendek kata, seluruh ekosistem perayaan dihimpunkan di bawah satu platform.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (Peruncitan) AEON CO. (M) BHD., Audrey Lim, perubahan ini bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi satu evolusi strategik dalam cara mereka berhubung dengan pelanggan. Fokusnya kini lebih mendalam, mencipta detik kebersamaan dan menjadikan AEON sebahagian daripada momen penting dalam kehidupan keluarga.
Kempen Raya tahun ini yang bertemakan “Cerita Raya” turut memperkukuh pendekatan tersebut. Ia tidak hanya memaparkan produk, tetapi mengetengahkan naratif tentang pertemuan semula, kenangan lama dan kegembiraan yang dikongsi bersama. Elemen visual, bunyi dan suasana di dalam premis digarap untuk membawa pelanggan menyelami emosi Aidilfitri, menjadikan pengalaman membeli-belah terasa lebih hidup dan bermakna.
Bagi MURAI, inilah kelainan sebenar AFP 2026. Ia bukan lagi acara melihat dan membeli, tetapi platform untuk merasa dan mengalami. AEON jelas mahu bergerak seiring perubahan gaya hidup pengguna yang kini mahukan pengalaman, bukan sekadar transaksi. Dan dengan pendekatan pop-up interaktif serta integrasi digital yang lebih kuat, AFP 2026 dilihat sebagai langkah besar dalam membentuk masa depan runcit perayaan di Malaysia.

21 hours ago
11















![[VIDEO] Adi Putra Terjebak Buat Trend TikTok, Peminat Tak Keruan!](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/02/Copy-of-Feature-Image-2000-x-1240-px-3-1.webp)

































