Aktor Transformers, Shia LaBeouf Naik Angin Tumbuk Lelaki Gay. Apa Puncanya?

18 hours ago 18

Kontroversi demi kontroversi. Nama Shia LaBeouf sekali lagi jadi bualan hangat, kali ini bukan di karpet merah atau set penggambaran, tetapi di tengah suasana penuh warna-warni sambutan Mardi Gras di New Orleans seperti yang dilpaorkan oleh The Guardian.

Segalanya dikatakan bermula di sebuah bar, R Bar, yang terletak berhampiran kawasan terkenal French Quarter. Ketika orang ramai sedang meraikan pesta tahunan itu dengan muzik dan kostum unik, suasana tiba-tiba bertukar tegang.

Menurut laporan polis, pelakon yang sinonim dengan filem Transformers itu didakwa bertindak agresif sebelum menumbuk dua lelaki dan melontarkan kata-kata berunsur homofobik berulang kali.

Salah seorang mangsa, Jeffrey Damnit, ketika itu berpakaian drag dan lengkap bersolek sempena Mardi Gras. Dia menyifatkan kejadian itu sebagai satu “tamparan hebat” terhadap komuniti budaya alternatif. Malah, dia berharap pihak pendakwa raya mempertimbangkan tuduhan di bawah undang-undang jenayah kebencian negeri Louisiana.

Seorang lagi lelaki, Nathan Thomas Reed, turut mendakwa ditumbuk di bahagian hidung walaupun dia tidak mahu bergaduh. Kedua-duanya dilaporkan berulang kali dipanggil dengan perkataan menghina terhadap komuniti LGBTQ+.

MURAI nak cakap satu saja, dalam dunia hari ini, sensitiviti bukan lagi pilihan, ia satu keperluan. Apatah lagi bila seseorang itu figura awam yang menjadi perhatian ramai.

Apa yang menambah panas cerita, selepas dibebaskan daripada tahanan, LaBeouf dilihat kembali berparti di kawasan Bourbon Street. Siap menari dengan dokumen pembebasan penjara di mulut. Aksi itu buat ramai tertanya-tanya,  tiada rasa kesal ke?

Namun ini bukan kali pertama namanya terpalit isu undang-undang. Pada 2017, dia pernah ditahan di Savannah atas kesalahan kelakuan tidak senonoh dan diarahkan menjalani pemulihan. Sebelum itu, pada 2014 di New York City, dia turut ditahan atas dakwaan mengganggu persembahan Broadway serta menggunakan kata-kata homofobik terhadap pegawai polis.

MURAI lihat, bakat sebesar mana pun, kalau sikap tidak dikawal, akhirnya nama sendiri juga yang tercalar. Isu ini kini dalam perhatian pihak berkuasa, dan persoalan sama ada ia akan diklasifikasikan sebagai jenayah kebencian masih belum terjawab.

Dan kali ini, nama Shia LaBeouf trending bukan kerana lakonan hebatnya, tetapi kerana tindakan yang mengundang kecaman.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |