3 Masjid Pilihan Gen Z Untuk Berbuka & Moreh Di Lembah Klang, Seni Bina Cantik, Juadah Pun Menarik

10 hours ago 6

Bulan Ramadan sememangnya waktu yang paling meriah di masjid. Selain menjadi tempat menunaikan solat berjemaah, masjid juga menjadi lokasi pilihan orang ramai untuk berbuka puasa, moreh dan beribadah bersama komuniti.

Menariknya, di sekitar Lembah Klang terdapat beberapa masjid yang kini menjadi tumpuan Gen Z. Bukan sahaja mempunyai seni bina yang cantik, malah menawarkan suasana yang selesa serta juadah moreh yang sedap. Berikut antara masjid yang sering menjadi pilihan jemaah.

1. Masjid Putra Heights

Terletak di kawasan Subang Jaya, Masjid Putra Heights merupakan salah satu masjid yang sering menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Masjid ini mampu menampung sehingga 5,000 jemaah dalam satu masa, menjadikannya antara masjid yang besar di kawasan tersebut. Dari segi seni bina, reka bentuknya kelihatan moden tetapi masih mengekalkan elemen seni bina Islam yang klasik.

Antara perkara yang mencuri perhatian ialah tekstur kubahnya yang kelihatan seperti permukaan bulan, sekali gus memberikan identiti yang unik kepada masjid ini. Selain itu, lokasinya juga mudah diakses menggunakan pengangkutan awam, menjadikannya lebih mesra pengunjung. Suasana di dalam masjid juga tenang dan selesa untuk beribadah, sama ada untuk solat berjemaah, berbuka puasa atau menghadiri program keagamaan.

2. Masjid Damansara Perdana

@masjiddamansaraperdana

JOM VISIT MASJID DAMANSARA PERDANA😇🌺 #masjiddamansaraperdana #dakwah_islam #fypシ #jomkemasjid #tourism #tourmalaysia #visitmalaysia2026 #cuticutimalaysia #malaysiatrulyasia

♬ original sound – Tourism Malaysia – Tourism Malaysia

Masjid ini terletak di kawasan Damansara Perdana dan sering menjadi perhatian kerana reka bentuknya yang moden serta berbeza daripada masjid lain.

Dari segi konsep, suasananya agak unik kerana ada yang mengatakan ia mengingatkan kepada konsep restoran popular Rembayung Khairul Aming dengan gaya minimalis dan susun atur yang kemas. Masjid ini juga dilengkapi dengan eskalator, sesuatu yang jarang dilihat di kebanyakan masjid. Kemudahan ini memudahkan jemaah terutama warga emas untuk bergerak ke ruang solat dengan lebih selesa.

Reka bentuk bangunan pula menampilkan penggunaan blok pengudaraan konkrit yang membolehkan udara segar masuk secara semula jadi. Pada masa yang sama, cahaya matahari yang masuk secara lembut menjadikan ruang dalaman masjid terasa lebih tenang dan nyaman.

Walaupun terletak di kawasan bandar yang sibuk, suasana di masjid ini masih terasa damai dan sesuai untuk mereka yang ingin menenangkan diri seketika.

3. Masjid TNB

Bagi mereka yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur, Masjid TNB antara lokasi yang sering menjadi pilihan untuk singgah solat atau berbuka puasa. Kedudukannya yang strategik di tengah bandar memudahkan orang ramai datang sama ada selepas waktu kerja ataupun sebelum keluar membeli-belah di kawasan berhampiran.

Antara perkara yang sering diperkatakan oleh jemaah ialah kualiti juadah berbuka, sahur dan moreh yang disediakan. Ramai menganggap hidangan di sini agak premium dan mewah berbanding tempat lain.

Selain itu, faktor kebersihan masjid juga sering dipuji, terutama bau karpet yang sentiasa segar dan selesa untuk digunakan ketika solat. Tidak hairanlah ada jemaah yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasai sendiri suasana di sini.

Kawasan parkir yang luas turut memudahkan pengunjung yang datang dengan kenderaan sendiri. Menariknya, suasana makan di sini juga sangat sederhana kerana tiada jurang antara tetamu kehormat dan orang awam. Semua duduk bersila di lantai yang sama dan menikmati juadah bersama.

Secara keseluruhannya, setiap masjid ini mempunyai keunikan tersendiri sama ada dari segi seni bina, suasana atau juadah yang disediakan. Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berbuka atau moreh di masjid sekitar Lembah Klang, tiga lokasi ini boleh menjadi antara pilihan yang menarik untuk dikunjungi sepanjang bulan Ramadan.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |