Satu ayat ringkas daripada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini telah menggemparkan dunia maya dan mencetuskan histeria dalam kalangan netizen. Ketika berkolaborasi dengan penyanyi Bella Astillah dalam satu video promosi produk kosmetik di TikTok, Saddiq dengan penuh keyakinan dan senyuman berkata, “Definisi cantik? Bella Astillah.” Kata-kata ini lantas membuatkan Bella, yang juga ibu dua anak, tersipu malu dan menarik perhatian ramai.
Momen yang spontan itu bermula apabila Bella, 31, mencabar Saddiq, 32, untuk mengenakan solekan ke wajahnya dalam video tersebut. Bella bergurau mengatakan dia perlu menyapu foundation di bawah dagu Saddiq kerana wajahnya yang berbentuk seperti kucing. Kemudian, Bella bertanya kepada Saddiq tentang definisi kecantikan menurut pandangannya. Tanpa ragu-ragu, Saddiq memberikan jawapan yang cukup manis dan penuh romantis: “Bella Astillah.”
Kata-kata tersebut mencetuskan gelombang kegembiraan dalam kalangan peminat mereka. Ruangan komen dipenuhi dengan pelbagai reaksi yang menggambarkan kekaguman dan rasa teruja terhadap keakraban mereka berdua. Ada yang mengungkapkan rasa cemburu, ada juga yang berharap agar mereka cepat menjadi pasangan rasmi. Beberapa netizen turut meluahkan bahawa chemistry antara Bella dan Saddiq begitu kuat, membuatkan mereka dilihat sebagai pasangan yang sempurna. “Kalau tak kahwin lagi dua ni tak tahulah, manis lain macam dah ni, kahwin jelah terus, senang,” kata seorang peminat yang merasakan ikatan mereka semakin jelas.
Gandingan Bella dan Saddiq memang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan. Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama dalam kempen jenama pakaian tempatan dan Saddiq juga membuat penampilan dalam video muzik lagu “Tapi Bukan Denganmu” nyanyian Bella. Fenomena ini mencetuskan ramai yang merujuk kepada mereka sebagai “BASS,” satu gabungan nama yang semakin popular di kalangan peminat.
Walaupun sehingga kini, kedua-dua mereka belum memberi jawapan pasti atau mengesahkan status hubungan mereka, keluarga kedua-dua belah pihak memberikan sokongan penuh andai gosip yang berlegar benar. Netizen terus menerus mengidolakan gandingan mereka, dengan beberapa media sosial dari luar negara, termasuk Korea Selatan, turut membincangkan mengenai keserasian mereka. Sekiranya benar mereka sedang menjalinkan hubungan, ramai yang berharap agar pasangan ini membawa hubungan mereka ke jenjang perkahwinan, melihatkan betapa mesranya mereka dalam setiap interaksi.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.