Masih terbayang-bayang di ingatan tangisan Betty Banafe, seorang pelakon yang pernah menyinari industri seni tanah air, apabila mengenangkan keperitan hidup yang ditanggung sejak berpisah dengan bekas suami enam tahun lalu. Di sebalik senyuman dan wajah tenangnya di khalayak, tersembunyi beban besar yang dipikul sebagai ibu tunggal yang bukan sahaja membesarkan dua anak sendirian, malah turut terpaksa berdepan dengan pelbagai tuntutan mahkamah yang berlarutan tanpa kesudahan.
Bekas suaminya yang kini berada di Amerika Syarikat didakwa memfailkan pelbagai tuntutan, termasuk isu hadanah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak mereka yang kini berada di bawah jagaan Betty di Kuala Lumpur. Bukan sekali dua, tetapi berbelas-belas kes mahkamah yang terpaksa dihadapi oleh pelakon berdarah kacukan ini, sehinggakan dia terpaksa berhempas-pulas mencari wang demi membayar kos guaman dan urusan berkaitan.
Lebih menyakitkan hati, Betty turut mendedahkan bahawa dia menanggung hutang yang ditinggalkan oleh bekas suami ketika mereka masih sah bergelar pasangan suami isteri. Beban yang sepatutnya dikongsi bersama ketika itu, kini terpaksa ditanggung seorang diri, meskipun hubungan perkahwinan itu telah lama berakhir.
Dalam diam, Betty membuktikan bahawa kekuatan seorang wanita tidak terletak pada kemewahan atau sokongan luar, tetapi pada semangat dan kasih sayangnya terhadap anak-anak. Ketabahan Betty sebagai ibu tunggal yang tetap berdiri teguh dalam mendepani cabaran hidup wajar dijadikan inspirasi. Semoga setiap air mata yang mengalir sepanjang perjuangan getir ini, akhirnya diganti dengan kebahagiaan dan ketenangan yang lebih bermakna buat dirinya dan anak-anak tercinta.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.