Perfume Paradise, bersama dengan personaliti media sosial Abam Panda, menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertajuk “Kongsi Rezeki Perfume Paradise X Abam Panda”. Program ini bertujuan untuk memberi bantuan kepada komuniti setempat melalui pengagihan ayam mentah secara percuma kepada penduduk PPR, berdasarkan konsep first come, first serve, tanpa mengira latar belakang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran,36, pemberian ayam mentah ini dipilih kerana ramai keluarga membuat persiapan untuk memasak menjelang bulan Ramadan, dan harga bahan makanan yang semakin naik mungkin memberi beban kepada mereka.
Pengasas Perfume Paradise menyatakan bahawa kejayaan syarikat dalam industri wangian memberi mereka peluang untuk melaksanakan inisiatif kebajikan. Kolaborasi dengan Abam Panda dipilih kerana beliau merupakan ikon kepada ramai ketua keluarga yang berusaha keras untuk mengubah kehidupan mereka. Kerjasama ini diharap dapat mempererat hubungan dengan masyarakat dan memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Abam Panda bukan sahaja akan menjadi wajah utama program ini, tetapi juga turut serta dalam pengagihan sumbangan di lokasi. Selain itu, beliau juga merancang untuk terus bekerjasama dengan Perfume Paradise bagi inisiatif CSR akan datang, memperluas impak kebajikan ini ke lebih banyak tempat.
Abam Panda, yang turut berasal dari kawasan flat ini, berkongsi bahawa kawasan ini menyimpan banyak kenangan besar dalam hidupnya. Beliau mengakui bahawa kehidupannya agak sempit ketika tinggal di sini dan memahami kesusahan orang lain.
Kini, beliau bersyukur kerana mendapat rezeki yang lebih, membolehkannya untuk berpindah ke rumah yang lebih selesa bersama keluarganya. Kesedaran ini mendorongnya untuk terlibat dalam program CSR ini sebagai usaha untuk membantu mereka yang masih menghadapi kesulitan.
Perfume Paradise telah terlibat dalam beberapa program CSR sebelum ini, termasuk program “Kongsi Kasih” terbitan Astro. Dengan program “Kongsi Rezeki”, mereka berharap untuk membantu komuniti sambil meningkatkan kesedaran jenama di seluruh Malaysia. Perfume Paradise juga bercadang untuk menjadikan inisiatif ini lebih kerap, dengan kemungkinan ia diadakan secara berkala setiap minggu atau bulan, bergantung kepada keputusan pengurusan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.