[REVIEW] The Grand Slam Unplugged 2: Bukan Sekadar Konsert, Ia Seperti Mesin Masa Buat Peminat Slam

12 hours ago 8

Ada sebab mengapa nama The Grand Slam Unplugged masih disebut-sebut sehingga hari ini. Konsert yang pernah berlangsung pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka itu bukan sekadar sebuah persembahan biasa, malah menjadi antara momen bersejarah dalam industri muzik tempatan apabila tetap diteruskan meskipun berdepan gangguan bekalan elektrik.

Dua dekad kemudian, The Grand Slam Unplugged 2 hadir sebagai sebuah sekuel yang cuba mengembalikan perasaan sama. Namun kali ini, ia bukan sekadar mahu mengimbau kenangan lama, sebaliknya mencipta memori baharu bersama peminat yang setia mengikuti perjalanan Slam sejak dahulu.

Dari sudut pandang MURAI, konsert ini berjaya menghidupkan semula emosi dan nostalgia yang selama ini hanya bermain dalam ingatan para peminat.

Zamani Masih Punya Aura Tersendiri

Sebaik sahaja Zamani muncul di pentas, sorakan penonton jelas menggambarkan betapa besar kasih sayang mereka terhadap penyanyi legenda itu.

Pada usia 55 tahun, harus diakui vokal Zamani tidak lagi sama seperti ketika berada di kemuncak populariti. Namun, apa yang mengagumkan, kekuatan suaranya masih mampu membawa emosi dalam setiap lagu yang dipersembahkan.

Malah, pengalaman dan penghayatan yang dimiliki Zamani hari ini memberikan dimensi berbeza kepada lagu-lagu yang dinyanyikan. Setiap bait terasa lebih matang dan dekat dengan jiwa pendengar.

Pergerakan Terbatas, Tetapi Semangat Tetap Utuh

Bagi peminat yang mengikuti perkembangan kesihatan Zamani, mereka pasti memahami cabaran yang dilalui penyanyi itu selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada November 2022.

Pergerakannya di atas pentas kelihatan agak terbatas berbanding dahulu. Namun, ia tidak menghalang beliau daripada memberikan persembahan terbaik sepanjang hampir keseluruhan konsert.

Seperti kebiasaannya, Zamani masih tampil dengan gaya ikoniknya menyanyi dalam keadaan sedikit menunduk sambil rambut lurus menutupi sebahagian wajah.

Mungkin bagi mereka yang pertama kali menyaksikan persembahan Zamani secara langsung akan berasa sedikit pelik atau tertanya-tanya. Namun bagi peminat setia, itulah identiti yang sudah sebati dengan dirinya sejak awal kemunculan bersama Slam.

Kualiti Audio Memuaskan, Ada Sedikit Gangguan Teknikal

Dari segi teknikal, sistem audio yang disediakan sepanjang konsert boleh dianggap antara aspek yang berjaya.

Susunan muzik dan vokal kedengaran jelas serta seimbang dari tempat duduk penonton. Setiap instrumen dapat didengar dengan baik tanpa menenggelamkan suara penyanyi.

Bagaimanapun, terdapat beberapa detik apabila persembahan terganggu seketika akibat masalah audio feedback pada mikrofon yang menghasilkan bunyi nyaring.

Nasib baik gangguan tersebut tidak berpanjangan dan situasi kembali terkawal dalam masa yang singkat.

Pengalaman Dari Zon Silver

MURAI berpeluang menyaksikan konsert ini dari zon Silver, iaitu kawasan tempat duduk selepas VIP.

Walaupun kedudukan masih dianggap baik, susunan kerusi yang agak mendatar menyebabkan pandangan ke arah pentas sedikit terhalang oleh penonton di hadapan, terutama ketika ramai berdiri atau mengangkat telefon untuk merakam persembahan.

Ia mungkin satu perkara yang boleh diberi perhatian untuk penganjuran konsert akan datang bagi memastikan pengalaman menonton lebih selesa untuk semua kategori tiket.

Kurang Berbicara, Lebih Banyak Menyanyi

Jika ada satu perkara yang ketara sepanjang malam, Zamani dilihat lebih banyak berkomunikasi melalui lagu berbanding kata-kata.

Interaksinya dengan penonton tidak begitu banyak. Tiada sesi sembang panjang atau perkongsian cerita yang kerap dilakukan antara lagu.

Sebaliknya, beliau kelihatan lebih fokus meneruskan persembahan demi persembahan dengan kadar rehat yang sangat minimum.

Namun, suasana tetap meriah apabila penonton sama-sama menyanyikan lagu Mentari Muncul Lagi. Momen sing along itu menjadi antara detik paling manis malam tersebut apabila seluruh dewan bergema dengan suara peminat.

Lagu-Lagu Yang Membawa Penonton Mengembara Ke Masa Lalu

Kekuatan utama The Grand Slam Unplugged 2 sememangnya terletak pada pilihan lagu.

Hampir setiap lagu yang dipersembahkan berjaya mencetuskan rasa nostalgia dan mengingatkan penonton kepada zaman kegemilangan muzik rock Melayu yang pernah mewarnai kehidupan ramai.

Ada yang tersenyum mengimbau kenangan lama, ada yang turut menyanyi tanpa henti, malah tidak kurang juga yang kelihatan sebak ketika lagu-lagu tertentu dimainkan.

Bagi MURAI, The Grand Slam Unplugged 2 berjaya mencapai matlamatnya. Ia bukan sekadar menghidupkan semula nostalgia malam bersejarah 1996, tetapi turut mencipta kenangan baharu yang akan terus dikenang oleh peminat yang hadir menyaksikannya. Malam itu membuktikan bahawa lagu-lagu Slam masih mempunyai tempat istimewa di hati pencinta muzik tanah air, dan nama Zamani masih mampu menyatukan ribuan peminat dalam satu rasa yang sama.

Thumbs

Thumbs

2

Hearts

Hearts

3

Haha

Haha

3

Star

Star

2

Sad

Sad

1

Weary

Weary

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |