“Legasi Janda Baik”, Angkat Komuniti Teraju Pemuliharaan Alam & Ekopelancongan

1 day ago 18

Siapa sangka di sebalik kehijauan hutan, deruan sungai yang jernih dan udara segar di sebuah kampung, Janda Baik yang terletak di daerah Bentong, Pahang, iaitu kira-kira 45 kilometer dari Kuala Lumpur, tersimpan sebuah kisah tentang bagaimana alam dan manusia saling melengkapi. 

Keindahan semula jadi yang menjadi tarikan pelancong bukan sekadar warisan untuk dinikmati, malah merupakan sumber kehidupan yang perlu dipelihara bersama. 

Berteraskan semangat tersebut, Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik (SATJB) menggerakkan modul ekopelancongan berasaskan komuniti yang lahir daripada hasil penyelidikan dan pemindahan ilmu oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Badan Berkanun Persekutuan di  bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Melalui pendekatan Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Ecotourism, CBET), penduduk setempat bukan sahaja berperanan sebagai tuan rumah kepada pelancong. Malah menjadi penjaga khazanah alam, sekali gus membina perpaduan dan memperkukuh ekonomi komuniti secara lestari.

Foto – RTM

Model ini menepati dasar kerajaan untuk memajukan pusat pusat pelancongan secara lestari, memelihara alam sekitar dan menyatupadukan masyarakat setempat berasaskan ekopelancongan komuniti setempat (CBET).

Faktor iklim tanah tinggi khatulistiwa yang sejuk dan nyaman menjadikan hutan di Janda Baik amat istimewa dengan kewujudan pelbagai spesis pokok yang bernilai tinggi.

Pengekalan hutan di Janda Baik amat penting kerana hutan bukan sahaja menjadi khazanah alam, malah merupakan jati diri, warisan budaya dan identiti yang perlu dipelihara untuk generasi masyarakat Orang Asli pada masa hadapan. 

Tidak hanya penting kepada ekonomi orang kampung serta normalisasi kehidupan orang asli, hutan di Janda Baik juga menjadi antara destinasi penting komuniti burung terbang bebas termasuk dari Royal Pahang Freefly Parrot.

Pengurusan hutan yang pragmatik amat penting agar konservasi alam, kelestarian dan biodiversiti terus terpelihara termasuk di Janda Baik, Bentong, Pahang. 

Menurut penerbit program ini, Azry bin Ahmad Mustafa Hadi (RTM), “Keunikan landskap Janda Baik perlu terus dipelihara agar khazanah alam ini mampu kekal terpelihara secara semula jadi untuk generasi akan datang.”

Beliau menambah, usaha RTM menerbitkan program ini sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar di samping mempromosikan Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBET) sebagai pemangkin kelestarian alam dan pembangunan komuniti setempat.

Ikuti siaran dokumentari Simfoni Alam bertajuk ”Legasi Janda Baik” ini pada 10 Julai 2026, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik rtmklik.rtm.gov.my.

Thumbs

Thumbs

1

Hearts

Hearts

5

Haha

Haha

2

Star

Star

3

Sad

Sad

1

Weary

Weary

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |