Labur RM8 Juta Demi Angkat Maruah Durian Malaysia, Pengasas KLDEX Kongsi Impian Besar

9 hours ago 5

Bila sebut durian, ramai mungkin terus terbayang keenakan Musang King, D24 atau Black Thorn. Namun bagi pengasas Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX), Ang Kean Wee dan Edison Ang Wei Phang, durian bukan sekadar buah bermusim ia adalah warisan budaya Malaysia yang perlu diceritakan kepada dunia.

Dalam temubual eksklusif bersama MURAI, kedua-dua pengasas berkongsi perjalanan membangunkan KLDEX, sebuah pusat pengalaman durian bersepadu pertama dan terbesar di Asia yang bakal dibuka secara rasmi pada 4 Julai 2026.

Menariknya, projek ini bukan dibangunkan secara kecil-kecilan. Menurut Wee, mereka melaburkan sekitar RM8 juta dengan keluasan 20,451 kaki persegi semata-mata untuk mewujudkan sebuah ruang yang mampu membawa pengunjung mengenali durian Malaysia dari sudut budaya, sejarah dan pengalaman.

“Sejak dibuka, setiap hari antara 800 kilogram hingga 1.5 tan durian dibawa masuk untuk pengunjung,” kata Wee mengenai sambutan awal terhadap KLDEX.

Bukan Sekadar Makan Durian, Tetapi Fahami Kisah Di Sebaliknya

Edison Ang yang juga seorang pempengaruh dengan nama Malaysia Cousin berkata idea membangunkan KLDEX tercetus daripada keinginan untuk memastikan kisah durian Malaysia tidak hilang begitu sahaja.

Walaupun Malaysia terkenal dengan varieti premium seperti Musang King, D24 dan Black Thorn, beliau melihat masih banyak cerita mengenai industri durian tempatan yang belum diketengahkan kepada masyarakat dunia.

“Visi kami adalah untuk memelihara warisan budaya durian Malaysia dan mendokumentasikan kisah di sebalik varieti durian unik yang berasal dari Malaysia,” katanya.

Pengasas Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX), Ang Kean Wee dan Edison Ang Wei Phang

Bagi Edison yang berasal dari Alor Setar, beliau mengakui dirinya bukan datang daripada latar belakang keluarga pekebun durian. Namun minat terhadap budaya dan industri durian tempatan mendorongnya untuk memperkenalkan keunikan buah tersebut dengan cara yang lebih moden.

“Saya bukan daripada latar belakang kebun durian, tetapi saya berminat untuk memperkenalkan budaya dan industri durian tempatan kepada lebih ramai orang,” ujarnya.

Malaysia Perlu Premiumkan Durian Seperti Produk Eksklusif

Dalam berkongsi pandangan mengenai industri durian global, Edison berkata Malaysia perlu mencari cara untuk menaikkan nilai durian tempatan agar lebih dikenali sebagai produk premium.

Menurutnya, walaupun Malaysia terkenal dengan durian berkualiti tinggi, jumlah eksport negara masih kecil berbanding beberapa negara lain.

“Walaupun negara terbesar eksport durian ke China adalah Vietnam dan Thailand, mereka tidak mempunyai tarikan seperti ini di negara masing-masing,” katanya.

Tambah Edison lagi, perkara itu menunjukkan Malaysia perlu mengetengahkan cerita dan pengalaman di sebalik durian, bukan hanya menjual buah tersebut.

“Negara lain eksport durian sangat besar, tetapi peratus Malaysia eksport masih kecil. Jadi kita kena premiumkan produk kita seperti D24,” jelasnya.

Bawa Pengunjung Masuk Ke Dunia Durian Malaysia

KLDEX bukan sekadar tempat menikmati durian, tetapi direka sebagai pusat pengalaman yang membawa pengunjung menyelami sejarah dan perkembangan industri durian Malaysia.

Pengunjung bakal melalui galeri sejarah, pameran interaktif, ruang pengalaman seperti dusun durian, serta persembahan imersif yang menggabungkan elemen drama, muzik dan kreativiti moden.

Menurut kedua-dua pengasas, matlamat utama mereka adalah supaya masyarakat tempatan dan pelancong luar negara dapat melihat durian Malaysia daripada perspektif yang lebih besar.

Bukan sekadar “buah raja”, tetapi simbol budaya, identiti dan kebanggaan Malaysia.

Dengan pembukaan KLDEX, Ang Kean Wee dan Edison Ang berharap pusat ini dapat menjadi destinasi wajib dikunjungi serta membantu meletakkan durian Malaysia di pentas dunia dengan cara yang lebih premium dan bermakna.

Thumbs

Thumbs

2

Hearts

Hearts

5

Haha

Haha

3

Star

Star

1

Sad

Sad

Weary

Weary

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |