“Kami Bukan Nak Gantikan Cendol Mereka”- Pengasas Koppiku Mahu Penjual Tradisional Terus Dikenang

13 hours ago 8

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, cendol bukan sekadar pencuci mulut. Ia adalah sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak, sama ada dinikmati selepas pulang dari sekolah, di pasar malam bersama keluarga atau ketika mencari kelegaan pada cuaca panas.

Namun di sebalik setiap mangkuk cendol yang menjadi kegemaran ramai, terdapat satu realiti yang semakin membimbangkan. Penjual cendol tradisional yang selama ini mempertahankan resipi warisan keluarga semakin berkurangan, manakala generasi baharu pula memilih haluan kerjaya yang berbeza.

Perkara itu menjadi antara sebab utama yang mendorong Pengasas Koppiku, Dr Rajiv Bhanot, memperkenalkan Cendol Series, bukan sekadar sebagai produk baharu tetapi sebagai usaha menghargai mereka yang telah lama menghidupkan warisan cendol tempatan.

Menurut Rajiv, hampir setiap rakyat Malaysia mempunyai kenangan tersendiri berkaitan cendol, namun individu yang mencipta memori tersebut sering kali tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Hampir setiap rakyat Malaysia ada memori cendol sendiri. Cendol depan sekolah, semangkuk di pasar malam bersama keluarga. Tetapi orang yang buatkan memori itu, makcik dan pakcik yang menyenduk cendol dari periuk yang sama selama berpuluh tahun, semakin hilang.

“Kami sebuah rangkaian kopi. Kami boleh saja jual secawan dan namakannya warisan, tetapi itu tidak betul. Kami bukan di sini untuk gantikan cendol sesiapa. Kami di sini untuk pastikan Malaysia tidak pernah lupa siapa yang buatkannya untuk kita,” katanya.

Berpegang kepada prinsip tersebut, Koppiku mengambil pendekatan berbeza dengan melancarkan Koppiku Cendol Stories, satu inisiatif yang bakal mengetengahkan kisah penjual cendol veteran dari seluruh negara.

Menerusi program itu, pelanggan akan diperkenalkan kepada gerai-gerai cendol tradisional yang masih bertahan sehingga hari ini, sekali gus membantu meningkatkan sokongan kepada pengusaha tempatan yang menjadi penjaga warisan makanan tersebut.

Dalam masa sama, Koppiku turut memperkenalkan tiga pilihan minuman di bawah Cendol Series iaitu Cendol, Cendol Durian dan Cendol Latte yang diinspirasikan daripada rasa asli pencuci mulut popular itu.

Bagi Rajiv, kejayaan sesebuah jenama tempatan bukan hanya terletak pada kemampuan menghasilkan produk baharu, tetapi juga bagaimana ia mampu memelihara cerita dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia.

Pelancaran Cendol Series yang berlangsung di Kuala Lumpur turut dihadiri beberapa personaliti terkenal termasuk Asyraf Khalid, Tya Arifin, Juliana Evans dan Spacedollah.

Cendol Series Koppiku boleh dinikmati mulai 22 Jun 2026 di kesemua 55 cawangan Koppiku di seluruh negara.

Thumbs

Thumbs

1

Hearts

Hearts

5

Haha

Haha

4

Star

Star

3

Sad

Sad

1

Weary

Weary

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |