Hitman Solutions Akhirnya Tamatkan Penantian Peminat Avenged Sevenfold Di Malaysia

14 hours ago 9

Selepas sekian lama menunggu, akhirnya berita yang dinanti-nantikan peminat rock tanah air menjadi kenyataan. Band heavy metal legenda, Avenged Sevenfold bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia pada tahun 2026!

Kali ini, Hitman Solutions tampil sebagai penganjur yang membawa ikon metal moden itu ke Unifi Arena pada 26 September 2026 menerusi konsert “Avenged Sevenfold Live in Malaysia”. Difahamkan, lokasi ini sebelum ini dikenali sebagai Axiata Arena dan sering menjadi saksi konsert berskala besar.

Bagi peminat setia atau “Deathbats”, ini bukan sekadar konsert biasa. Ia adalah momen ‘reunion’ yang sudah dinanti sejak kemunculan terakhir mereka pada tahun 2015. Sejak itu, Avenged Sevenfold terus mengukuhkan legasi mereka dengan album seperti The Stage dan Life Is But a Dream…, selain lagu-lagu hit seperti Nightmare, Hail to the King dan Afterlife yang kekal menjadi siulan ramai.

Apa yang lebih menarik, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal sendiri mengakui bahawa permintaan terhadap band ini memang luar biasa.

Menurut Rohit, setiap kali pihaknya mengumumkan konsert rock, pasti nama Avenged Sevenfold akan muncul dalam ruangan komen, mesej dan DM peminat. Jelasnya, Deathbats di Malaysia sememangnya setia menunggu kepulangan band ini.

Tambah beliau lagi, usaha membawa Avenged Sevenfold ke Kuala Lumpur bukan sesuatu yang mudah. Namun, pihaknya percaya segala usaha itu akan terbayar apabila Unifi Arena dipenuhi peminat yang ‘all out’ pada malam konsert nanti.

Konsert ini dijangka menjanjikan pengalaman penuh tenaga, daripada riff gitar yang padu, vokal bertenaga hingga suasana crowd yang pasti ‘pecah’. Pendek kata, malam itu bakal jadi antara highlight terbesar buat peminat rock dan metal tempatan.

Harga Tiket

Untuk yang dah lama tunggu, ini masa anda. Tiket pra-jualan artis akan dibuka pada 7 April jam 11 pagi, manakala jualan umum bermula 8 April jam 12 tengah hari. Harga tiket pula bermula dari RM299 hingga RM699, dengan kategori Rockzone pada harga RM499 (tidak termasuk caj tambahan).

Nampaknya, penantian panjang peminat akhirnya berbaloi. September nanti, Kuala Lumpur bakal ‘bergegar’ dengan kepulangan Avenged Sevenfold dan kali ini, memang tak boleh dilepaskan!

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |