Dari Berniaga di Pasar Malam, Kini Pemilik Dre Coffee, Kafe 24 Jam di Cyberjaya

14 hours ago 8

Siapa sangka perjalanan seorang anak muda yang pernah menjual roti john di pasar malam secara sukarela kini membawa beliau memiliki sebuah kedai kopi 24 jam yang berkonsepkan teknologi moden dan komuniti? Itulah kisah inspirasi di sebalik DRE Coffee, jenama kopi terbaru yang baru sahaja membuka cawangan pertamanya di Cyberjaya.

Dari Pasar Malam ke Seattle: Awal Kisah Danish Adam

Semuanya bermula ketika Danish Adam masih bersekolah dan berusia belasan tahun. Kerana minat berniaga, beliau membuat kerja sukarela membantu meniaga Roti John di pasar malam. Pengalaman ini bukan sahaja membentuk disiplin dan semangat keusahawanan, malah menanam minat mendalam untuk membina perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Danish kemudian melanjutkan pengajian di Seattle, Amerika Syarikat,  sebuah bandar yang terkenal sebagai antara pusat budaya kopi paling berpengaruh di dunia. Di sana, Danish bukan sekadar menikmati kopi, tetapi benar-benar memahami bagaimana jenama besar seperti Starbucks, Dutch Bros dan Luckin Coffee membina komuniti yang kuat di sekeliling jenama mereka.

Pengalaman ini menjadi titik tolak kepada pembentukan DRE Coffee, bukan sekadar menjual kopi, tetapi membina sebuah ekosistem komuniti yang memberi nilai dan peluang kepada semua. Dari eksperimen kecil di kalangan pelajar, kini DRE Coffee berkembang menjadi jenama komersial dengan Cyberjaya sebagai lokasi pertama di Malaysia. Menariknya, Danish merancang untuk membuka cawangan kedua di Amerika Syarikat pada 2027, sebagai simbol perjalanan jenama ini kembali ke tanah kelahirannya.

Konsep Kopi Generasi Baharu: “Minum • Kongsi • Jana”

DRE Coffee menonjol dengan konsep unik yang dipacu teknologi kecerdasan buatan. Sistem “Drink • Refer • Earn” ini bukan sahaja menawarkan kopi premium, tetapi juga membuka peluang pendapatan kepada komuniti.

Dengan pendekatan ini, keuntungan tidak hanya tertumpu di ibu pejabat, tetapi dikongsi semula kepada pelanggan, kakitangan dan komuniti. Seperti yang Danish katakan:

“DRE Coffee bermula bukan sebagai perniagaan, tetapi sebagai passion saya hanya membancuh kopi untuk rakan-rakan di Seattle. Dari situ, saya melihat potensi yang lebih besar , bukan sekadar kopi, tetapi sebuah ekosistem yang memberi manfaat kepada semua.”

Kualiti Konsisten dengan Sokongan Teknologi

Satu lagi keunikan DRE Coffee adalah penggunaan mesin kopi berteknologi tinggi dan AI untuk memastikan setiap cawan dihasilkan dengan kualiti yang konsisten. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membolehkan pengalaman kopi stabil dan mudah dikembangkan, sesuai dengan gaya hidup moden yang pantas.

Dengan operasi 24 jam, DRE Coffee menjadi destinasi ideal untuk pelajar, profesional dan komuniti digital yang aktif pada bila-bila masa. DRE Coffee mensasarkan golongan muda, pekerja pejabat, pelajar universiti serta komuniti digital di Cyberjaya. Pada fasa awal, mereka menyasarkan 300 hingga 500 cawan sehari, dan akan meningkat kepada 700 hingga 1,000 cawan sehari apabila jenama matang. Fokus utama adalah pelanggan berulang dan membina komuniti tetap DRE Coffee.

Dengan pembukaan di Cyberjaya, DRE Coffee kini bersedia untuk mengembangkan sayap ke lebih banyak lokasi strategik di Malaysia, sambil mengekalkan rancangan antarabangsa dengan cawangan di Eugene, Amerika Syarikat pada 2027.

Dari gerai roti John di pasar malam ke kedai kopi 24 jam, perjalanan Danish membuktikan bahawa dengan visi, teknologi, dan semangat membina komuniti, impian besar boleh bermula dari langkah kecil.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |