Jarang kita melihat Aishwarya Rai marah dan hilang sabar, dan apabila dia melakukannya pasti ramai yang akan terkejut. Suatu ketika dahulu, aktres ini pernah hilang sabar dan memarahi wartawan ketika ditemu bual.
Ianya disebabkan oleh munculnya khabar angin palsu, mengatakan dia bakal meninggalkan India untuk meneruskan kerjaya di Hollywood.

Dalam video lama yang muncul semula dalam talian, salah seorang wartawan telah bertanya kepadanya tentang kenyataan lamanya di mana dia didakwa akan berpindah ke Hollywood. Bagaimanapun, aktres itu nampaknya hilang sabar dan membidas dengan meminta wartawan itu menyemak fakta sebelum mengaitkannya dengan berita palsu tersebut.
“Tunggu sebentar. Bilakah saya berkata sebegitu? Dalam temu bual mana? Tidak, anda tunjukkan saya temu bual itu dan kemudian kita akan bercakap mengenainya.”
Apabila wartawan tersebut menjawab bahawa mereka tidak ingat jika dia pernah mengeluarkan kenyataan itu atau tidak, Aishwarya menjadi berang.
“Jika anda ingin bertanya soalan, sila lakukannya. Jangan berikan kenyataan kepada saya! Saya pernah bekerja dalam filem Tamil, kemudiannya filem Hindi dan Bengali, dan kini dalam beberapa filem Inggeris. Tetapi ini tidak bermakna saya beralih ke mana-mana atau saya sebahagian daripada industri lain. Ia hanya meluaskan pengalaman dalam beberapa cara.”

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi. Ramai yang memuji keberaniannya untuk menutup khabar angin. Manakala sesetengahnya pula ada bergurau dengan mengatakan respon aktres itu mengingatkan sikap Jaya Bachchan yang turut agresif terhadap wartawan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.