Sempena sambutan Hari Ibu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadiahkan penonton dua telefilem istimewa yang mengetengahkan kisah penuh emosi dan pengajaran tentang pengorbanan seorang ibu.
Lakonan Dua Pelakon Hebat Tanah Air

Telefilem ini menampilkan dua pelakon legenda tanah air, Datuk Hajah Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud, sebagai ibu yang menghadapi cabaran berat dalam kehidupan keluarga mereka.
Pada 10 Mei, pukul 9.00 malam di TV1, telefilem “Sagon Tumbok” disiarkan.
Ia mengisahkan Nek Pa, lakonan Datuk Hajah Fauziah Nawi, seorang ibu tunggal yang dizalimi dan disisihkan oleh anak kandungnya sendiri, Murni.
Kisah Kekeluargaan Dihari Kedua

Dibelenggu fitnah, Nek Pa dikurung tanpa belas kasihan oleh Murni. Kebenaran akhirnya terbongkar, namun persoalannya, sempatkah Nek Pa menerima keadilan yang selayaknya? Telefilem ini turut dibintangi Nad Zainal, Rosnah Johari dan Puteri Awani.
Sementara itu, pada 11 Mei, pukul 9.30 malam di saluran Okey, ditayangkan telefilem “Cinta Yang Menakluki” yang membawa penonton ke desa Kuala Pilah.
Fauziah Ahmad Daud membawakan watak Mak Jah, seorang nenek penyayang yang menjaga dua cucunya, Nuha dan Hidayah, kerana kesibukan ibu bapa mereka, Amira dan Halim.
Pastinya Menyayat Hati

Kasih sayang antara atuk-nenek dan cucu semakin erat, namun kebahagiaan itu tergugat apabila Amira mahu menyambung pengajian ke luar negara dan membawa anak-anaknya bersama.
Mak Jah berdepan dilema apabila cucunya tidak mahu berpisah.
Demi masa depan mereka, dia berpura-pura menjadi kejam agar cucu-cucunya rela mengikut ibu bapa mereka.
Kedua-dua telefilem ini boleh ditonton melalui RTMKlik dan menjanjikan kisah menyayat hati yang mengangkat pengorbanan seorang ibu dan nenek yang tidak ternilai.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.