Suasana di GSC Mid Valley malam semalam berubah menjadi kapsul masa yang membawa penonton ke era 70-an. Murai.my berpeluang untuk menghadiri Gala Tayangan Perdana Filem Mencari Ramlee, arahan sulung Megat Sharizal. Tayangan perdana ini bukan sekadar satu acara hiburan, tetapi satu penghormatan tulus buat warisan seni Tan Sri P. Ramlee yang kekal mekar dalam jiwa rakyat Malaysia.
Dibaluti dengan tema nostalgia dan gaya klasik, para tetamu dan selebriti hadir dalam busana ikonik zaman kegemilangan Seniman Agung tersebut. Filem ini dijangka akan mencuri perhatian ramai apabila ia ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 Jun 2025.
Kisah Fiksyen Dengan Jiwa Sejarah
Mencari Ramlee bukan biografi, tetapi kisah fiksyen kreatif yang menyentuh perasaan. Berlatar sehari selepas pemergian P. Ramlee pada 30 Mei 1973, ia mengisahkan Zakaria (lakonan Tony Eusoff), seorang peniru gaya seniman agung itu yang terdesak melunaskan hutang dengan gangster tempatan, Yusuf (lakonan Megat Sharizal).
Keadaan menjadi rumit namun menyentuh apabila kakak Yusuf, Zaiton (Sofia Jane) yang menghidap amnesia, percaya bahawa Zakaria ialah P. Ramlee sebenar. Zakaria terpaksa ‘berlakon’ menjadi idola rakyat itu. Maka, terciptalah satu perjalanan menyentuh hati yang mengimbas kembali makna cinta, seni dan pengorbanan.
Gabungan pelakon berkaliber seperti Mimi Lana, Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Sharifah Amani, Bront Palarae, Vanidah Imran dan Iedil Dzuhrie menjadikan naskhah ini lebih bernyawa. Kemunculan istimewa Najua P. Ramlee, cucu kepada P. Ramlee sendiri, turut menambahkan sentuhan sentimental.
Sentuhan Seni Yang Kaya Emosi
Apa yang membuat Mencari Ramlee istimewa ialah sentuhan muzik oleh kumpulan Pitahati yang memperindah naratif dan membalut setiap adegan dengan emosi. Gabungan genre drama, komedi dan elemen sentimental disusun rapi, menjadikan karya ini bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman perasaan.
Pengarah Megat Sharizal, berkongsi bahawa inspirasi filem ini datang daripada kenangan zaman kecilnya yang dibesarkan bersama filem-filem P. Ramlee.
“Filem ini adalah surat cinta saya kepada zaman keemasan itu,” kata beliau penuh emosional.
Penerimaan Industri dan Pengiktirafan Antarabangsa
Dengan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) FINAS dan diterbitkan oleh Playground Film Sdn Bhd, Mencari Ramlee turut dipilih secara rasmi ke Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR), menjadikan ia satu pencapaian membanggakan bagi filem tempatan. D’Ayu Pictures pula bertindak sebagai pengedar rasmi yang akan membantu memperluas jangkauan filem ini ke peringkat global.
Ulasan Murai.my
Bagi Murai, Mencari Ramlee bukan hanya sebuah filem, tetapi sebuah cerminan kasih terhadap warisan seni yang hampir dilupakan. Ia menghidupkan semula nostalgia dan membawa mesej bahawa seni klasik tidak pernah lapuk, cuma menanti untuk dihargai semula.
Sebagaimana kata P. Ramlee,
“Irama dan lagu tak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan pincanglah lagu dan rosaklah seni.”
Dengan cara penyampaian gambaran yang sinematik seakan filem lama, gaya pertuturan pelakon serta jalan cerita yang menyentuh hati, Filem ini berjaya mengungkap roh petikan itu dengan begitu indah.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.