Apa yang berlaku apabila kemahiran yang kita anggap biasa sebenarnya mampu memberikan kegembiraan kepada orang lain?
Itulah yang cuba dilakukan pempengaruh dan usahawan, Diva M, atau nama sebenarnya Mohd Muzakir, apabila meluangkan masa menyantuni warga emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69, Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon menganjurkan program gunting rambut percuma pada 25 Ogos lalu.
Menariknya, sekitar 40 penghuni menerima khidmat berkenaan dengan bantuan 15 kakitangan yang dibawa khas oleh Diva M.
Bukan Sekadar Potong Rambut, Kenangan Ibu Ayah Menyentuh Hati
Pada awalnya, mungkin nampak seperti aktiviti kebajikan yang simple. Potong rambut, kemaskan penampilan dan selesai.
Tetapi bagi Diva M, pengalaman itu ternyata jauh lebih bermakna.
Ketika menggunting rambut penghuni warga emas, dia tidak dapat menahan sebak kerana teringatkan ibu dan arwah bapanya.
“Kalau saya tengok warga emas ini, saya akan terfikir orang tua saya. Ayah saya dah tak ada, tapi saya fikir mak saya,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Diva M sendiri pernah menggunting rambut arwah bapanya dan sehingga kini masih membantu merapikan rambut ibunya apabila diperlukan.
Jadi, bila melihat penghuni yang sebaya dengan ibu bapanya, memori lama datang kembali.
Sanggup Tutup Salun Demi Luangkan Masa
Untuk memastikan pasukannya dapat bersama-sama menjayakan program tersebut, Diva M mengambil keputusan menutup operasi salun pada hari berkenaan.
Bukan hanya penghuni yang masih aktif diberikan perhatian, malah warga emas yang terlantar turut menerima khidmat gunting rambut.
Bagi Diva M, rezeki yang diperoleh daripada masyarakat wajar dikongsi semula.
“Bukan semua orang boleh potong rambut. Jadi bila ada kelebihan di sini, saya akan gunakan dan saya akan tolong ramai orang nanti,” ujarnya.
Program itu turut disertai anaknya sendiri sebagai pendedahan supaya generasi muda memahami kepentingan menghormati dan menyantuni warga emas.
Kebajikan Tak Semestinya Kena Bermula Dengan Perkara Besar
MURAI rasa, ini antara perkara yang menarik daripada kisah Diva M.
Kadang-kadang kita fikir nak membantu orang perlu ada duit banyak atau buat sesuatu yang grand. Hakikatnya, kemahiran yang kita ada pun boleh menjadi satu bentuk sumbangan.
Diva M juga mahu program sebegini diteruskan dan sudah merancang untuk kembali ke RSK Cheras dengan aktiviti lebih santai seperti sesi minum petang bersama penghuni.
“Insya-Allah saya akan buat lagi. Saya harap apa yang dilakukan dapat menjadi saham akhirat juga buat saya,” katanya.
Dalam kita sibuk menyambut Hari Kebangsaan, mungkin ini juga salah satu cara untuk menterjemahkan rasa syukur bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi menghargai insan yang pernah terlebih dahulu membina kehidupan kita.
Kerana sebelum kita mengenang mereka yang membina negara, jangan lupa ibu bapa dan generasi terdahulu yang terlebih dahulu membina kita.
Thumbs
Thumbs
3
Hearts
Hearts
5
Haha
Haha
1
Star
Star
2
Sad
Sad
Weary
Weary

5 hours ago
5





![[VIDEO] Sheila Majid Buka Tirai Jiwa Merdeka, Ombak KLCC Jadi Pentas Budaya Malaysia](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-29-at-15.31.35-3.webp)









![[VIDEO] Didakwa Warga Bangladesh Pandu, Lori Sampah Alam Flora Hempap 3 Kereta](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/08/14-1.webp)



















![[REVIEW] Dr Anwar Naha Dalang Kematian Ahyan Atau Sekadar ‘Umpan’? Episod 7 GBGTH Cetus Teori Baharu](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/06/Feature-Image-2000-Px-PHIC-10-1.webp)
















