Setelah hampir empat tahun menjalin hubungan cinta, aktres terkenal Indonesia, Luna Maya akhirnya sah menjadi isteri kepada pelakon Maxime Bouttier. Majlis pernikahan yang penuh romantik dan intim ini berlangsung sekitar pukul 4.15 petang di Bali, Indonesia, pada hari ini. Luna, yang berusia 41 tahun, secara rasmi menjadi isteri kepada Maxime, yang berusia 32 tahun, dengan sekali lafaz yang mengesahkan ikatan mereka.
Dalam majlis yang diadakan dengan penuh adat dan tradisi, Luna mengenakan kebaya putih yang anggun dipadankan dengan veil panjang yang menyentuh tanah, sementara Maxime pula tampil bergaya dalam pakaian serba hitam, mematuhi adat Jawa. Luna juga menerima hantaran berupa 7.5 gram emas dan wang tunai yang dibayar dalam mata wang USD, menambah kemeriahan majlis yang cukup mewah ini.
Acara yang bertemakan ‘dalam taman’ itu turut disaksikan oleh ramai rakan selebriti terkenal seperti Reza Rahadian, Raffi Ahmad, Ashanty, Anang dan Nagita Slavina. Bukan itu sahaja, majlis pernikahan pasangan sensasi ini turut disiarkan secara langsung di akaun YouTube rasmi TS Media, membolehkan peminat mereka di seluruh dunia turut merasai kemeriahan hari bahagia ini.
Rata-rata netizen memuji kecantikan Luna yang tampak awet muda dan menawan pada majlis tersebut. “Mata tak berhenti memandang Luna, terlalu cantik tidak seperti usia 41 tahun,” ujar seorang peminat. “Seri pengantin Luna jelas terpancar,” kata yang lain, menggambarkan betapa mempesonanya Luna di hari pernikahannya.
Semalam, pasangan ini juga melaksanakan adat bersiram yang merupakan tradisi Jawa sebagai tanda permulaan hidup baru mereka. Sebelum majlis, Maxime melamar Luna ketika mereka bercuti di Tokyo, Jepun pada 1 April lalu, dan memberikan sebuah cincin berlian 3.53 karat sebagai simbol cinta yang mendalam antara mereka.
Dengan pernikahan ini, Luna dan Maxime kini memulakan babak baru dalam kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri, dan segala doa serta ucapan tahniah mengalir deras dari peminat yang menyokong cinta mereka.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.