“Kalau kakak kahwin, saya akan rasa sangat sedih.” Luahan tulus daripada penyanyi Irfan Haris dalam siaran langsung TikTok itu nyata menyentuh hati ramai. Jelas tergambar betapa kuatnya kasih seorang adik kepada kakak yang sudah lama menjadi tulang belakang dan teman paling rapat dalam hidupnya. Irfan, 23, bukan sekadar meluahkan rasa sayang, tetapi turut menitipkan harapan agar kakaknya, Amira Othman, ditemukan jodoh dengan lelaki yang benar-benar layak dan mampu menghargai wanita sebaik Amira.
Penyanyi lagu Redha itu berkata walaupun tahu kakaknya berhak untuk hidup bahagia bersama pasangan pilihan, namun hakikat kehilangan ‘kakak sendiri’ kepada orang lain tetap terasa berat. Dia berharap agar sesiapa pun yang akan menjadi suami Amira kelak, dapat menjaga dan mencintainya dengan seikhlas hati. Kata-kata jujur Irfan yang tidak berselindung itu lantas menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya bersetuju bahawa Amira memang layak untuk dicintai oleh lelaki budiman yang tahu menghargai dirinya.
Komen-komen peminat turut membanjiri video tersebut dengan ucapan dan doa yang baik-baik. Ramai yang mengatakan Amira seorang wanita yang lemah lembut, berbudi bahasa dan tidak pernah terpalit dengan sebarang kontroversi. Malah, ada juga yang mula menyebut nama Fattah Amin sebagai calon paling sesuai, lebih-lebih lagi selepas gosip hubungan mereka kembali hangat diperkatakan. Rata-rata beranggapan mereka bukan sahaja sepadan dari segi rupa, malah kelihatan cukup serasi apabila muncul bersama dalam beberapa kempen jenama popular sebelum ini.
Meskipun tiada sebarang pengakuan rasmi dibuat oleh Amira mahupun Fattah, peminat seolah-olah dapat menghidu bahawa sesuatu sedang disembunyikan. Tambahan pula, desas-desus mengenai pernikahan mereka dalam masa terdekat semakin kuat bertiup sejak pengurus Fattah, Aca, memberikan reaksi yang tidak menafikan berita tersebut. Katanya ringkas, “Doakan yang baik baik,” satu jawapan yang membuka ruang besar kepada pelbagai spekulasi.
Bagi Irfan, sebagai adik yang membesar bersama kakak yang banyak berkorban untuknya, tentu sukar untuk melepaskan seseorang yang begitu penting dalam hidupnya. Namun, seperti peminat lain, dia hanya mampu berharap agar Amira bertemu kebahagiaan yang selayaknya. Dan jika benar hari bahagia itu bakal tiba tidak lama lagi, maka tiada doa yang lebih baik selain mendoakan agar segalanya dipermudahkan dan dilimpahi keberkatan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.