Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kecewa dan serik apabila kemurahan hatinya dalam membantu orang sekeliling akhirnya memakan diri. Usahawan kosmetik popular itu mengakui tidak lagi mempercayai sesiapa untuk dipinjamkan wang selepas dikhianati oleh ramai individu yang gagal melunaskan hutang sehingga mencecah jumlah keseluruhan RM50 juta. Malah, Aliff secara terbuka menyatakan bahawa dirinya seolah-olah kelihatan seperti seorang pengemis setiap kali berusaha menuntut semula wang yang dipinjam.
Dalam nada kesal, Aliff mendedahkan bahawa ramai kenalan yang tampak hidup mewah sebenarnya suka meminjam wang tetapi culas untuk membayar balik. Setiap kali dia cuba menuntut semula haknya, dia pula yang dilayan seperti tidak punya harga diri.
Lebih menyedihkan, pengalamannya itu membuatkan dia hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap sesiapa pun, tidak kira pangkat atau gelaran. Kini, katanya, satu-satunya sahabat baik yang masih dipercayai hanyalah isterinya sendiri.
Aliff turut menjelaskan bahawa pendiriannya bukan kerana mahu kedekut, tetapi kerana terlalu banyak kali ditipu meskipun sudah berusaha berbaik sangka. Malah, katanya, sebelum ini dia cuba menganggap pemberian wang kepada orang yang meminjam itu sebagai satu bentuk zakat kerana tidak mahu timbul perbalahan.
Namun apabila semua 50 individu yang pernah dipinjamkan wang gagal membayar semula, semangatnya untuk membantu terus mati. Lebih malang, apabila dia cuba bersuara dan memviralkan perkara tersebut, ada pula yang menuduhnya berniat jahat dan sengaja mahu membuka aib orang.
Bagi menuntut keadilan dan mendapatkan kembali wang yang dipinjam, Aliff kini mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang terlibat. Katanya, beberapa kes sedang berjalan di mahkamah dan beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana masih dalam proses perbicaraan. Bagi Aliff, kekecewaan kali ini benar-benar mendalam dan dia tekad untuk tidak lagi dipergunakan atas nama simpati. Kini, katanya, cukuplah jika dia terus hidup susah senang bersama keluarga sendiri.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.