Kemelut rumah tangga pasangan pelakon popular Indonesia, Baim Wong dan Paula Verhoeven akhirnya menemui titik noktah apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan semalam. Perceraian ini menjadi tumpuan ramai selepas terbongkarnya bukti bahawa Paula telah terbukti curang dengan kehadiran orang ketiga ketika masih bergelar isteri Baim. Mahkamah dalam penghakimannya mengisytiharkan Paula sebagai isteri yang nusyuz, iaitu tidak menjaga kehormatan diri dan mengkhianati hubungan suami isteri.
Hakim Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Suryana, menjelaskan bahawa sepanjang prosiding perbicaraan, bukti yang dikemukakan tentang pertengkaran dalam rumah tangga mereka adalah sahih. Oleh itu, permohonan perceraian yang diajukan oleh Baim diterima oleh mahkamah. Selain itu, tuntutan Paula untuk nafkah idah dan madiah (nafkah lampau) juga ditolak, dengan mahkamah memutuskan bahawa Paula tidak berhak menerima nafkah tersebut disebabkan kelakuannya yang telah terbukti berlaku curang.
Paula, yang sebelum ini meminta nafkah madiah sebanyak Rp100 juta sebulan, dan Rp200 juta sebulan untuk nafkah idah, kini terpaksa menerima kenyataan bahawa permohonan tersebut ditolak. Selain isu kewangan, mahkamah juga memutuskan hak penjagaan anak-anak mereka, Kiano yang berusia 3 tahun dan Kenzo yang berusia 2 tahun, akan diberikan secara bersama. Pasangan ini akan bergilir-gilir menjaga anak-anak mereka setiap dua minggu sekali tanpa sebarang pertikaian.
Baim, yang memfailkan cerai pada 7 Oktober tahun lalu, mengakui bahawa keputusan ini didorong oleh sikap curang yang ditunjukkan oleh Paula. Namun, Paula menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dia tidak pernah berlaku curang terhadap suaminya. Perceraian ini melibatkan banyak perasaan yang bercampur baur, dengan kedua-dua pihak perlu menerima kenyataan bahawa hubungan yang mereka bina sejak 2018 kini berakhir dengan keputusan yang mengerikan.
Baim dan Paula, yang mendirikan rumah tangga pada November 2018, kini akan meneruskan kehidupan masing-masing sebagai ibu bapa bersama bagi membesarkan dua anak lelaki mereka. Namun, perceraian ini sudah pasti memberi impak besar kepada kehidupan peribadi dan profesional mereka.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.