Sejak majlis pelancaran yang berlangsung pada September lalu, filem Gayong menjadi antara naskhah yang dinantikan oleh peminat filem tempatan.
Diinsiprasikan Dari Kisah Pengasas Silat Gayong
Filem ini diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR).
Lebih menarik, pelakon popular Beto Kusyairy memegang watak utama sebagai ADMAR, bersama pelakon-pelakon terkenal seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian, dan lain-lain.
Setelah penggambaran yang dilakukan di Kuala Lumpur, Sepang, dan Tanjung Sedeli, filem Gayong dijadualkan tayang di pawagam seluruh negara pada 8 Mei 2025.
Mengangkat Warisan Melayu

Pengarah filem ini, Faisal Ishak, yakin bahawa Gayong akan menjadi antara filem aksi yang sangat dinantikan.
Menurutnya, Gayong bukan sekadar filem aksi, tetapi juga sebuah platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.
Faisal berharap penonton dapat menikmati bukan sahaja aksi yang mendebarkan, tetapi juga merasai semangat di sebalik setiap gerakan dalam persilatan.
Faisal turut mengakui bahawa menghasilkan sebuah filem tentang tokoh persilatan terkemuka bukanlah tugas yang mudah.
Cabaran yang dihadapi bukan hanya dalam aspek teknikal, tetapi juga dalam memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh tersebut.
Jalani Latihan Intensif
Sehubungan itu, setiap pelakon menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman.
Latihan ini bertujuan memastikan setiap pergerakan dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik.
Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, turut menjelaskan bahawa mereka telah mendapat persetujuan daripada keluarga ADMAR dan pertubuhan silat Gayong Malaysia untuk memastikan keaslian cerita ini.
Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, Khairul berharap Gayong akan diterima baik oleh penonton dan dapat mengangkat legasi ADMAR.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.