Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi terus komited memperluaskan akses pendidikan kepada golongan memerlukan dengan memperkenalkan Biasiswa Anak eKasih.
Inisiatif baharu ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim semasa sesi Pemberitahuan Pertanyaan di Dewan Negara.
Via Kementerian Pendidikan TinggiMenurut beliau, biasiswa ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional bagi memastikan pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan kewangan.
Apa Itu Biasiswa Anak eKasih?
Biasiswa Anak eKasih merupakan bantuan pendidikan khas yang disasarkan kepada pelajar daripada keluarga yang berdaftar dalam sistem eKasih, iaitu pangkalan data kemiskinan nasional.
Melalui inisiatif ini, pelajar yang layak akan menerima pembiayaan pendidikan yang pada asalnya berbentuk pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, namun ditawarkan sebagai biasiswa sekiranya memenuhi semua syarat kelayakan.
Pendekatan ini bertujuan memastikan bantuan pendidikan kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar serta mengelakkan berlakunya pembaziran atau pertindihan bantuan.
Syarat Kelayakan Biasiswa
Antara syarat utama bagi memohon Biasiswa Anak eKasih ialah:
- Warganegara Malaysia
- Berumur tidak melebihi 25 tahun ketika membuat permohonan
- Memulakan pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA bermula 1 Januari 2026
- Tersenarai dalam pangkalan data eKasih
- Kursus pengajian berdaftar dalam sistem permohonan PTPTN
- Mempunyai akaun Simpan SSPN Prime atau Simpan SSPN Plus yang aktif
- Tidak mempunyai pinjaman PTPTN yang sedang diuruskan oleh Agensi Perunding Hutang
- Baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya satu semester semasa membuat permohonan
Cara Permohonan Biasiswa Anak eKasih
Permohonan biasiswa ini dibuat melalui sistem permohonan pinjaman PTPTN.
Pelajar perlu terlebih dahulu memohon pinjaman melalui aplikasi myPTPTN versi web. Sekiranya memenuhi semua syarat kelayakan yang ditetapkan, permohonan tersebut akan dipertimbangkan untuk ditukar kepada Biasiswa Anak eKasih.
Calon yang berjaya akan dimaklumkan melalui emel dan notifikasi dalam aplikasi myPTPTN.

Elak Pertindihan Bantuan
Bagi memastikan bantuan pendidikan diagihkan secara lebih adil, Kementerian Pendidikan Tinggi turut menetapkan beberapa dasar penting.
Antaranya termasuk larangan menerima penajaan bertindih daripada badan penaja lain seperti Majlis Amanah Rakyat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia atau yayasan negeri.
Selain itu, setiap pelajar hanya dibenarkan menerima satu penajaan pada satu masa di bawah program penajaan kementerian.
Permohonan juga akan melalui proses semakan silang dengan data eKasih bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima manfaat.
Berapakah jumlah biasiswa yang diberikan?
Jumlah bantuan tahunan yang ditawarkan berbeza mengikut peringkat dan bidang pengajian:
- Diploma: RM4,750 setahun
- Ijazah Sarjana Muda (Sastera): RM6,180 setahun
- Ijazah Sarjana Muda (Sains): RM6,650 setahun
Perbezaan kadar ini mengambil kira kos pengajian dan keperluan akademik yang lazimnya berbeza antara bidang sastera dan sains. Walaupun jumlahnya ditetapkan secara tahunan, bayaran akan dibuat secara berperingkat mengikut semester.
Bagi Murai, pengenalan Biasiswa Anak eKasih ini memang satu langkah yang sangat positif. Ramai pelajar cemerlang sebenarnya datang daripada keluarga berpendapatan rendah, namun terpaksa memikirkan soal kewangan sebelum menyambung pengajian. Dengan adanya inisiatif ini, sekurang-kurangnya lebih ramai anak daripada keluarga kurang berkemampuan berpeluang melanjutkan pelajaran.

7 hours ago
7










































![[VIDEO] Leona Kongsi Keadaan Kereta Calar ‘Gesel’ Dinding Parking, Netizen Terhibur!-“Naik Kereta Kebal Je Laa.”](https://murai.my/wp-content/uploads/2025/12/93a02370-7602-44b5-bc9a-2762e864d6cc.webp)




![[VIDEO] Lelaki Pukul Isteri Selepas ‘Kantoi’ Curang, Alasan Penyondol Buat Ramai Mengekek- “B Tu Brother La”](https://murai.my/wp-content/uploads/2025/12/3.jpg)


