Setelah bertahun-tahun mengunci mulut mengenai kisah putus tunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi, pelakon Elfira Loy akhirnya mendedahkan bahawa detik tersebut merupakan pengalaman paling pahit dalam hidupnya. Elfira, yang kini berusia 31 tahun, mengakui bahawa walaupun dia telah melalui pelbagai ujian dalam hidup, putus tunang adalah perkara yang paling berat yang pernah dia alami.
“Saya rasa saya seorang yang kuat sebab dah melalui fasa ibu bapa berpisah dan besarkan adik-beradik sejak berusia 12 tahun. Itu momen terberat. Rupanya, benda paling berat apabila saya putus tunang,” katanya, sambil menahan air mata. Dia turut menjelaskan bahawa sepanjang waktu berduka itu, dia memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu perkara tersebut menjadi bahan perbincangan yang berterusan.
Elfira juga berkongsi bahawa ketika isu putus tunangnya menjadi perbualan ramai, dia sering menjadi bahan ejekan orang sekeliling. “Ketika itu, saya pergi mana-mana orang akan buat lawak dan ejek saya. Orang ingat saya okey, tetapi sebenarnya tidak. Saya pergi pusat membeli-belah, orang gelak-gelak dan menyanyi lagu (Sufian),” katanya. Pelakon drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu mengakui bahawa selama ini dia tidak pernah terlibat dalam gosip, tetapi kali ini, isu peribadinya menyebabkan orang kehilangan rasa hormat kepadanya.
Namun, dalam kesedihan yang mendalam itu, Elfira menemukan kekuatan yang luar biasa. Dia bersyukur kerana momen tersebut menjadi asbab dia lebih dekat dengan Allah dan menghabiskan masa di masjid. “Saya tiada tempat nak pergi, jadi saya habiskan masa di masjid. Itu turning point (titik permulaan) dalam hidup saya,” katanya, menjelaskan bagaimana dia menemukan kedamaian dengan berfokus kepada hubungan dengan Tuhan.
Elfira juga menyatakan bahawa pada waktu itu, dia tidak bercakap dengan sesiapa, termasuk ibunya yang marah kerana dia tidak mempertahankan diri. “Saya tahu tiada siapa nak pertahankan saya jadi saya bercakap dengan-Nya (Allah). Perjalanan hidup selepas itu, Allah bagi apa saya nak,” ujarnya.
Kisah pahit Elfira berakhir dengan kebahagiaan yang baru. Pada tahun 2018, Elfira dan Sufian putus tunang selepas beberapa bulan bertunang. Namun, setahun kemudian, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairol Anwar dan kini memiliki dua orang anak, Muhammad Rayyan Khalaf yang berusia 4 tahun dan Nur Aria Mikayla yang berusia 3 tahun.
Kini, Elfira menjalani kehidupan yang lebih bahagia bersama keluarganya, dan perjalanan hidupnya yang penuh liku itu memberi inspirasi kepada ramai orang untuk terus kuat dan yakin dengan takdir yang ditentukan Allah.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.