Bagasi Selamat Sebelum Terbang, ‘Kosong’ Selepas Mendarat Undang Simpati Ramai

2 days ago 17

Satu perkongsian di media sosial baru-baru ini mencetuskan perbualan hangat apabila perkongsian itu memaparkan keadaan bagasi seorang individu sebelum dan selepas penerbangan ke sebuah negara di Afrika Tengah.

Apa yang pada awalnya kelihatan sebagai perjalanan biasa bertukar menjadi pengalaman pahit apabila hampir keseluruhan isi bagasi didakwa hilang, meninggalkan hanya beberapa helai pakaian dan barangan asas.

Dari Dibungkus Rapi, Jadi Tanpa Bungkusan

Melalui gambar yang dikongsikan di Thread, bagasi tersebut pada awalnya dibalut dengan kemas menggunakan plastik pelindung.

Namun selepas mendarat, balutan itu sudah tiada, sekaligus menimbulkan persoalan tentang apa yang berlaku sepanjang proses pemeriksaan bagasi.

Menurut pemilik bagasi, dia difahamkan bahawa bayaran tertentu sering diminta sebelum bagasi dibuka. Kali ini, jumlah yang diminta mencecah USD100.

Disebabkan keengganan memberi wang, dia mendakwa hampir semua barangan dalam bagasi diambil, termasuk pakaian, barangan kebersihan diri serta ubat-ubatan yang masih boleh digunakan.

Pengalaman Yang Dianggap ‘Biasa’ Oleh Sesetengah Pelancong

Meninjau ruangan komen, ada yang mendakwa situasi sebegini bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang kerap ke negara berkenaan.

Beberapa individu berkongsi pengalaman dan tip perjalanan, antaranya membawa wang dalam nilai kecil, menyimpan wang di tempat berasingan serta bersedia berhadapan dengan banyak pemeriksaan di lapangan terbang.

Ada juga yang berpendapat, berunding dianggap lebih selamat berbanding bertegang urat, walaupun hasilnya tidak semestinya memuaskan.

Dalam nada berseloroh, segelintir menyifatkan pengalaman tersebut sebagai ‘cerita tak habis kalau dilawan’.

via Thread /@hafizhassan
via Thread /@anoi53

Hilang Berpuluh Kilo, Tinggal Beberapa Kilo

Antara komen yang paling menarik perhatian ialah dakwaan berat bagasi yang asalnya melebihi 20 kilogram, akhirnya tinggal sekitar dua kilogam sahaja.

Ada yang mengaitkan situasi ini dengan cerita lama rakan atau kenalan yang pernah bertugas di beberapa negara Afrika, di mana barangan peribadi dalam bagasi sering ‘lesap’ dan dikatakan dijual semula di pasaran tempatan.

via Thread /@fadzazahari

Walaupun kedengaran keterlaluan, kisah-kisah sebegini nyata menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pembaca.

Pilih Hand Carry Demi Elak Risiko

Tidak kurang juga yang berkongsi langkah berjaga-jaga, termasuk memilih untuk tidak mendaftar masuk bagasi langsung.

Ada yang sanggup membayar lebih asalkan hanya membawa beg kabin, demi mengurangkan risiko kehilangan barangan.

Pendekatan ini dianggap lebih selamat, terutamanya bagi mereka yang sudah maklum dengan cabaran perjalanan di sesetengah negara.

Pengajaran Buat Pelancong

Perkongsian ini bukan sekadar kisah kehilangan bagasi, tetapi turut membuka mata ramai tentang realiti perjalanan antarabangsa yang tidak selalu indah.

Ia menjadi peringatan agar pelancong lebih bersedia dan berwaspada sebelum berlepas.

Dalam masa yang sama, rata-rata netizen mmeluahkan simpati dan berharap pengalaman pahit ini menjadi iktibar kepada orang lain.

Realitinya, tidak semua perjalanan meninggalkan kenangan manis, namun setiap kisah tetap membawa pelajaran yang bernilai.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |