Sebelum ini, penyanyi Akim Ahmad pernah menyuarakan harapannya agar isterinya, Stacy Anam, menjadi komposer dan penulis lirik. Kini, impian tersebut akhirnya menjadi kenyataan apabila Stacy tampil sebagai komposer untuk single terbaharu Hafiz Zainal yang berjudul Memoir. Lagu ini turut menampilkan Stacy sebagai penulis lirik bersama Akim, menjadikannya satu kolaborasi istimewa dalam dunia muzik tempatan.
Menariknya, Hafiz Zainal bukan sekadar seorang penyanyi, tetapi juga seorang doktor gigi yang memiliki bakat luar biasa dalam nyanyian. Dalam ruangan komen media sosialnya, Hafiz berkongsi rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan lagu ini.
“Bismillah. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan sebuah karya yang bernama Memoir. Sebuah lagu yang dilahirkan daripada hati. Semoga menjadi tema dalam jiwa-jiwa pendengar yang penuh dengan memori suka-duka orang tersayang, tidak kira sama ada masih hidup ataupun yang telah meninggalkan kita,” tulisnya.
Sejak dilancarkan, Memoir menerima sambutan hangat daripada peminat yang terpukau dengan melodi dan liriknya yang menyentuh emosi. Ramai yang mengakui tidak dapat menahan air mata ketika mendengar lagu ini, kerana ia begitu mendalam dan penuh makna.
“Berair mata dengar lagu ni,” tulis seorang peminat di ruangan komen.
Selain itu, ramai juga memuji Stacy dan Akim atas keunikan sentuhan mereka dalam menghasilkan lagu yang begitu menyentuh hati.
“Sedapnya! Hope dapat masuk AJL, insya-Allah,” komen seorang lagi peminat yang berharap Memoir bakal bersaing di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu.
Dengan gabungan vokal merdu Hafiz Zainal serta gubahan melodi dan lirik yang penuh perasaan, Memoir berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar. Kejayaan ini membuktikan kebolehan Stacy sebagai komposer berbakat, dan siapa tahu, mungkin lebih banyak karya hebat akan lahir daripadanya selepas ini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.