MURAI berpeluang ‘test drive’ DENZA D9 selama 2 hari 1 malam dari Kuala Lumpur ke Penang. MPV elektrik mewah ni bukan calang-calang besar, senyap dan penuh dengan teknologi canggih. Sepanjang perjalanan, kami sempat duduk semeja dengan wakil DENZA Malaysia untuk mengenali lebih dekat jenama yang kini makin disebut-sebut di kalangan peminat EV tempatan. Ini antara soalan panas yang kami ajukan dan jawapan terus dari Denza sendiri.
MURAI: DENZA D9 ni masuk kategori apa sebenarnya? Lawan dengan siapa? Proton, Perodua ke?
DENZA: Kami berada dalam segmen Premium atau Luxury Large MPV. Jadi lawan utama kami bukan Proton atau Perodua, tapi model seperti Toyota Alphard, Vellfire dan MPV mewah dari jenama global lain, termasuk beberapa model EV dari China.
DENZA D9 ni lebih kepada kereta eksekutif dan keluarga berpendapatan tinggi yang nak keselesaan tahap premium, teknologi elektrik terkini, dan ruang dalaman yang besar.
MURAI: Ramai orang cakap EV ni masih baru di Malaysia. DENZA yakin ke pasaran ni boleh pergi jauh?
DENZA: Kami sangat yakin. Sekarang ni, minat terhadap EV memang tengah naik. Kerajaan pun banyak beri insentif dan sokongan, jadi pengguna makin berani mencuba. Cuma ya, isu stesen pengecasan masih dibincangkan, tapi kami percaya benda tu akan bertambah baik tak lama lagi. Lagipun DENZA D9 boleh jalan sejauh 600km dengan sekali caj (NEDC), dari KL ke Penang pun tak ada hal!
MURAI: Apa kelebihan utama DENZA D9 berbanding MPV lain?
DENZA: Tiga perkara utama, keselesaan, teknologi dan ruang.
Kerusi Zero-Gravity di baris kedua, boleh laras sampai 10 arah, ada urutan, pemanas dan penyejuk. Rasa dia macam duduk dalam kelas bisnes kapal terbang. Suspension pintar DiSus-C — sistem ni automatik laras semasa pemanduan, jadi walau jalan tak rata pun kereta kekal stabil dan lembut.
Ruang luas gila! Panjang 5,250mm dengan wheelbase 3,110mm, tempat duduk belakang pun masih selesa.
Oh ya, ada peti sejuk mini untuk minuman panas atau sejuk, dan sistem audio 14 pembesar suara Dynaudio yang memang buat kereta ni rasa macam panggung wayang bergerak.
MURAI: Boleh cerita sikit tentang teknologi bateri dan prestasi caj DENZA D9?
DENZA: Kami guna Blade Battery (LFP) yang dibangunkan oleh BYD, antara yang paling selamat dan tahan lama di dunia.
- Kapasiti: 103.36 kWh
- Jarak: Sehingga 600km (NEDC)
- Caj pantas: 10% ke 80% dalam 30 minit sahaja!
Waranti pun panjang, 8 tahun atau 160,000km untuk bateri dan 6 tahun/150,000km untuk kenderaan. Ini beri keyakinan tinggi kepada pemilik.
MURAI: Macam mana pula dengan kos servis? EV ni betul ke jimat?
DENZA: Betul! Sebab EV tak ada minyak enjin, tak ada timing belt, dan kurang komponen bergerak. Jadi servis DENZA D9 jauh lebih mudah dan murah.
Servis cuma sekali setahun atau setiap 20,000km. Kami juga tawarkan pakej servis percuma hingga 6 tahun atau 120,000km. Jadi dalam tempoh awal tu, pemilik tak perlu risau langsung kos penyelenggaraan.
MURAI: Kalau rosak atau perlukan alat ganti, cepat ke dapat?
DENZA: Itu keutamaan kami. Sebab DENZA di bawah BYD, kami ada rangkaian alat ganti global dan gudang tempatan. Jadi proses penggantian alat ganti boleh dibuat dengan cepat. Kami juga bekerjasama dengan rakan tempatan yang berpengalaman, jadi pelanggan tak perlu risau tentang perkhidmatan selepas jualan.
MURAI: Sistem hiburan dalam kereta ni sokong Apple CarPlay ke?
DENZA: Ya, sudah tentu! Skrin besar 15.6 inci dalam Denza D9 menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar. Jadi pengguna boleh sambung telefon terus, dengar Spotify, buka Waze, semuanya senang dan moden.
MURAI: Harga DENZA D9 ni bukan murah… rakyat Malaysia masih sanggup ke beli?
DENZA: Kami faham bukan semua orang cari kereta mewah, tapi untuk segmen kami, pembeli bukan sekadar tengok harga, mereka tengok nilai keseluruhan.
Denza D9 menawarkan kemewahan, teknologi EV, dan penjimatan jangka panjang (tak perlu isi minyak, cukai jalan lebih murah). Bila dibanding dengan Alphard atau Vellfire, DENZA D9 sebenarnya lebih bernilai sebab elektrik dan lebih moden.
MURAI: Jadi apa mesej DENZA untuk rakyat Malaysia yang tengah menimbang nak beli EV?
DENZA: EV bukan lagi masa depan, ia dah jadi realiti. DENZA D9 hadir untuk mereka yang nak gaya hidup hijau tanpa kompromi kemewahan.
Kami nak tunjuk bahawa kereta elektrik pun boleh rasa premium, luas, dan mewah, sesuai untuk keluarga besar atau pengurusan syarikat yang nak imej moden dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Selepas 2 hari memandu DENZA D9 dari KL ke Penang, kami di MURAI boleh rumuskan, ini bukan sekadar kereta, tapi pengalaman penuh gaya dan tenang. Dengan reka bentuk elegan, kabin senyap, kerusi urut dan teknologi canggih, DENZA D9 memang bawa erti baru kepada dunia MPV elektrik mewah di Malaysia.
Artikel di sediakan oleh Afiq Rashid