AirAsia Tempah 150 Pesawat Airbus A220, Ini 5 Perkara ‘Kaki Travel’ Kena Tahu

8 hours ago 8

AirAsia X Berhad (AAX) sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila mengumumkan pembelian besar-besaran pesawat Airbus A220-300 bernilai kira-kira USD19 bilion. Bukan sekadar pembelian biasa, langkah ini dianggap antara strategi paling besar AirAsia untuk masa depan industri penerbangan mereka.

Ini 5 perkara besar yang anda perlu tahu tentang pengumuman bersejarah ini.

1. AirAsia Tempah Sehingga 300 Pesawat Baharu

AirAsia mengesahkan tempahan rasmi sebanyak 150 pesawat Airbus A220-300, namun apa yang lebih mengejutkan mereka turut mempunyai pilihan untuk menambah sehingga 300 buah pesawat pada masa depan.

Tempahan ini juga menjadi rekod dunia sebagai pembelian terbesar pesawat Airbus A220 pernah dibuat oleh mana-mana syarikat penerbangan setakat ini.

2. Jadi Syarikat Pertama Dunia Guna Konfigurasi 160 Tempat Duduk

AirAsia bakal menjadi pelanggan pertama dunia yang menggunakan konfigurasi khas 160 tempat duduk bagi pesawat Airbus A220.

Pesawat ini direka untuk memberi kapasiti lebih optimum, terutamanya bagi laluan yang mempunyai permintaan sederhana tetapi memerlukan penerbangan lebih kerap.

3. Lebih Jimat Minyak & Mesra Alam

Dalam keadaan harga bahan api yang semakin tinggi, Airbus A220 dilihat sebagai pilihan bijak kerana pesawat ini menggunakan kira-kira 20 peratus kurang bahan api berbanding model Airbus A320 lama.

Malah, pelepasan karbonnya juga lebih rendah, sekali gus membantu AirAsia bergerak ke arah operasi penerbangan yang lebih lestari.

4. AirAsia Nak Tambah Lagi Banyak Laluan Baharu

Dengan kemampuan penerbangan sehingga tujuh jam, pesawat ini membolehkan AirAsia membuka lebih banyak laluan yang sebelum ini dianggap kurang menguntungkan.

Ini termasuk destinasi kecil dan hab sekunder di rantau ASEAN serta Asia Pasifik yang mungkin selepas ini bakal menerima lebih banyak penerbangan AirAsia.

5. Pesawat Baharu Ini Bakal Ubah Strategi AirAsia

Pesawat Airbus A220 dijangka mula diterima pada tahun 2028 dan akan digunakan untuk laluan serantau.

Dalam masa sama, pesawat Airbus A320, A321 dan A330 sedia ada akan dialihkan untuk penerbangan jarak sederhana dan jauh termasuk ke Eropah, Australia serta Amerika Utara.

Langkah ini menunjukkan AirAsia bukan sahaja mahu terus kekal sebagai syarikat penerbangan tambang rendah popular di Asia, tetapi juga sedang bersedia menjadi pemain global yang lebih besar pada masa depan.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |