Konsert Jiwa Kacau 2025 yang berlangsung pada Sabtu lalu berjaya pukau lebih 13,000 peminat yang membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil.
Gandingan enam kumpulan hebat Malaysia dan Indonesia iaitu Hujan, Spider, Bunkface, The Lantis, Kerispatih, dan Wali Band telah ‘memecahkan panggung’ mendidihkan adrenalin dengan konsert yang berlangsung selama empat jam yang dibawakan khas oleh MND Sport & Events Sdn Bhd dan NEX Beverage selaku penaja utama bagi Konsert Jiwa Kacau 2025.
Persembahan pembukaan dimulakan dengan kumpulan terkenal Indonesia The Lantis yang pertama kali membuat persembahan di Malaysia menerusi lagu Lampu Merah, Ambang Rindu, Santai dan Bunga Maaf.
Kemudian, persembahan diteruskan dengan persembahan Kumpulan Hujan yang membawakan lima buah lagu. Antaranya, Di Kala Bulan Bermain Biola, Rahsia Tuhan, Kotak Hati, Bila Aku Sudah Tiada, dan Aku Skandal yang telah menaikkan lagi semangat penonto pada malam itu.
Sorakan peminat semakin ‘menggila’ apabila kumpulan rock legenda tanah air, iaitu Spider mendendangkan tujuh buah lagu yang menjadi kegemaran peminat setiap kali pergi karaoke seperti Ngam Ho, Bila Nak Saksi, Telinga Ke Tulang, Buat Sang Puteri, Aladin dan Nazraku.
Fattah Amin Umum Sudah ‘Bertunang’
Dalam pada itu, aktor, Fattah Amin yang hadir menyanyikan beberapa potong lirik lagu Tapi Bukan Aku nyanyian asal kumpulan Indonesia, Kerispatih ini turut membuat pengumuman mengejutkan di atas pentas Jiwa Kacau 2025 mengenai dirinya yang dikatakan telah ‘bertunang’.
Walaubagaimanapun, Fattah kemudian menjelaskan bahawa dia bukanlah bertunang dengan mana-mana individu, namun telah bertunang untuk menjadi duta sebuah produk.
Konsert kemudian diteruskan dengan persembahan kumpulan terkenal Indonesia, Kerispatih dengan mendendangkan lagu-lagu hit era 2000-an seperti Aku Harus Jujur, Tapi Bukan Aku, Tertatih, Bila Rasaku Ini Rasamu, Terbaik Untukmu, Demi Cinta.
Bukan itu sahaja, Stadium Hoki Bukit Jalil kembali ‘bergegar’ dengan kemunculan Bunkface yang membuatkan penonton menjadi ‘gila’ dan turut menari bersama dengan lagu-lagu seperti Malam Ini Kita Punya, Panik, Korang, Darah Muda, Situasi, dan Revolusi.
Konsert Jiwa Kacau 2025 melabuhkan tirai dengan persembahan kumpulan Wali Band sebagai penutup dengan mendendangkan lagu-lagu seperti Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku, Yank, Aku Bukan Bang Toyib, Cari Jodoh .
Malah, kumpulan terkenal Indonesia ini turut menyelitkan sedikit ruang untuk bermuhasabah diri bersama penonton dengan lagu Tobat Maksiat.
Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur iaitu MND Sport & Events kerana telah berjaya mengadakan konsert yang sangat hebat dan juga OPR NETWORK kerana menjemput MURAI hadir ke konsert.
Kesempatan untuk menyaksikan persembahan hebat ini tentunya memberi inspirasi kepada peminat muzik di seluruh negara. Semoga lebih banyak lagi konsert seperti ini diadakan di masa hadapan, membawa lebih banyak keceriaan dan pengalaman indah kepada semua