Korea Selatan semakin menjadi destinasi pelancongan pilihan utama, terutama dalam kalangan peminat budaya K-Pop dan K-Drama. Fenomena gelombang ‘Hallyu‘ yang merujuk kepada penyebaran budaya pop Korea ke seluruh dunia, telah memberi kesan besar terhadap industri pelancongan negara tersebut. Dari hiburan hingga makanan dan fesyen, ramai pelancong kini menjadikan Korea Selatan sebagai destinasi impian mereka.
K-Pop dan Tarikan Seoul
Seoul, ibu kota Korea Selatan, menjadi pusat industri hiburan negara ini. Pelancong dari seluruh dunia berduyun-duyun ke kawasan seperti Gangnam, Hongdae, dan Myeongdong untuk merasai sendiri suasana yang sering ditampilkan dalam muzik video dan rancangan realiti K-Pop.
Kedai-kedai yang menjual barangan K-Pop seperti album, pakaian idola dan cenderahati khas, menjadi tarikan utama peminat muzik Korea. Selain itu, agensi hiburan seperti HYBE, SM Entertainment, YG Entertainment, dan JYP Entertainment turut membuka muzium dan ruangan khas untuk peminat artis mereka.
Contohnya, HYBE Insight membolehkan pelancong menyelami dunia artis-artis naungan syarikat tersebut dengan lebih mendalam. Peminat K-pop pasti sangat teruja dan menjadikan tempat ini sebagai tempat wajb dalam senarai mereka
Lokasi K-Drama
Siri K-Drama yang semakin popular juga mendorong pelancong untuk melawat lokasi penggambaran terkenal. Tempat seperti Nami Island (Winter Sonata), Bukchon Hanok Village (Goblin), dan Petite France (My Love From The Star) sering menjadi tumpuan pelancong. Selain itu, Istana Gyeongbokgung dan Han River juga sering dipaparkan dalam drama-drama popular.
Tidak peliklah jika ramai pelancong sudah membuat perancangan untuk ke tempat-tempat tersebut kerana mereka sudah memerhati dari kaca televisyen lagi. Mereka pasti iteruja untuk merasai sendiri pengalaman berdiri di tempat drama kegemaran mereka. Boleh la berangan ala-ala dalam drama tersebut.
Hidangan dan Makanan Korea
Bukan sahaja hiburan, malah makanan Korea juga semakin digemari oleh pelancong. Hidangan seperti tteokbokki, ramyeon, kimchi, bulgogi dan bibimbap kini menjadi kegemaran ramai. Selain kelihatan sangat menyelerakan, makanan Korea juga mempunyai rasa yang tersendiri.
Gaya pemakanan mereka juga agak berbeza kerana mereka kebiasaannya makan bersama pelbagai jenis hidangan sampingan (Banchan). Pasar seperti Gwangjang Market dan Myeongdong Street Food Market adalah tempat yang wajib dikunjungi untuk merasai makanan tempatan yang autentik. Selain itu, pelancong juga gemar mencuba pakaian tradisional Korea, hanbok, dan bergambar di sekitar istana lama seperti Istana Changdeokgung.
Korea Selatan Sebagai Destinasi Impian
Dengan gabungan hiburan, budaya, pemakanan dan keindahan bandar yang moden serta tradisional ini, tidak hairanlah Korea Selatan semakin menjadi pilihan utama pelancong, terutama generasi muda. Fenomena K-Pop bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menjadi pemacu utama kepada sektor pelancongan negara tersebut.
Jika anda peminat K-Pop atau K-Drama, Korea Selatan pasti menjadi destinasi impian anda!
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.