Cuti Tambahan Aidilfitri Diumum! Ini Tarikh Cuti Jika Raya Jatuh 20 atau 21 Mac

7 hours ago 6

Berita gembira buat rakyat Malaysia, kerajaan mengumumkan satu hari cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan cuti tambahan itu diberikan sebagai penghargaan kepada rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.

“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu, jangan bimbang, kita beri cuti tambahan Hari Raya” katanya.

Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim

Menurut beliau, tarikh cuti tambahan tersebut bagaimanapun bergantung kepada pengisytiharan rasmi 1 Syawal.

Tarikh Cuti Tambahan

Kerajaan menetapkan dua kemungkinan tarikh cuti tambahan bergantung kepada hari sambutan Aidilfitri.

Sekiranya Aidilfitri jatuh pada:

  • Jumaat (20 Mac) – Cuti tambahan diberikan pada Isnin (23 Mac)
  • Sabtu (21 Mac) – Cuti tambahan diberikan pada Jumaat (20 Mac)

Perdana Menteri berkata sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan.

“Sebaliknya, kalau Hari Raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), maka cuti tambahan adalah pada Jumaat (20 Mac),” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, semalam.

Menurut Anwar Ibrahim, pengumuman awal ini dibuat bagi memudahkan rakyat merancang perjalanan pulang ke kampung serta persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

YouTube video

Skim Harga Maksimum Selama 15 Hari

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri 2026.

Skim tersebut akan berlangsung selama 15 hari bermula 14 Mac, merangkumi tempoh:

  • 7 hari sebelum Aidilfitri
  • Hari perayaan
  • 7 hari selepas Aidilfitri

Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal stabil sepanjang musim perayaan.

Menurut kerajaan, sebanyak:

  • 24 barangan kawalan di Semenanjung Malaysia
  • 23 barangan di Sabah dan Sarawak
  • 22 barangan di Labuan

Akan dipantau di bawah skim tersebut dan pelaksanaan ini dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Harga Cili Merah Dijangka Naik

Dalam pada itu, kerajaan turut memaklumkan kemungkinan berlaku kenaikan harga cili merah berikutan gangguan bekalan dari Thailand selepas negara tersebut dilanda banjir besar.

Sehubungan itu, pengguna disarankan mempertimbangkan penggunaan cili kering sebagai alternatif sementara bekalan kembali stabil.

Bagi Murai, pengumuman cuti tambahan ini memang tepat pada masanya. Biasalah, bila tiba musim raya ramai yang perlu merancang perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman. Dengan tambahan satu hari cuti, sekurang-kurangnya rakyat ada lebih masa untuk pulang bertemu keluarga tanpa perlu terlalu tergesa-gesa.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |