Penyanyi berbakat besar Wani Kayrie kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul Cak Cak Cekuk, sebuah lagu pop moden yang menggabungkan elemen muzik tradisional dengan susunan kontemporari.
Inspirasi Daripada Lagu Rakyat
Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, lagu ini adalah hasil ciptaan bersama Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.
“Cak Cak Cekuk” diinspirasikan daripada lagu rakyat “Cak Cekur Udang Gamit” yang sering dinyanyikan oleh ibu atau nenek kepada anak-anak kecil.
Lagu ini diberi nafas baharu dengan sentuhan moden, menjadikannya lebih dekat dengan generasi masa kini.
Ada Mesej Yang Ingin Disampaikan

Wani berkongsi, lagu ini menggambarkan realiti pasangan muda yang berdepan cabaran kewangan dalam merancang perkahwinan.
Dengan lirik yang bersahaja namun penuh makna, lagu ini menyampaikan mesej bahawa cinta dan keikhlasan lebih utama berbanding kemewahan majlis.
Kadang-kadang, tak perlu tunggu semua cukup baru boleh kahwin. Kalau dah sayang, usaha sama-sama. Lagu ini santai tapi ada makna
Selain menjadi hiburan ringan, Cak Cak Cekuk juga membawa mesej motivasi, terutamanya buat mereka yang sedang menempuh fasa awal kehidupan dewasa.
Sudah Boleh Mula Di Strim

Lirik seperti “Perlahan dayung sampai hujung” mencerminkan semangat untuk terus berusaha walaupun dalam kesusahan.
Lagu ini sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, “bridal shower”, atau apa-apa acara bertemakan cinta dan keluarga.
Ia kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music bermula 23 Mei 2025.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton muzik video eksklusif Cak Cak Cekuk yang bakal dilancarkan tidak lama lagi dengan konsep yang unik.
Untuk perkembangan lanjut, ikuti Wani Kayrie dan Rocketfuel Entertainment di media sosial.