“Saya Silap Buka Aib Sendiri” – Ieda Moin Mohon Maaf Lepas Kongsi Kisah Nyaris Terjebak Hubungan Songsang

8 hours ago 6

Tidak menyangka niat berkongsi kisah silam akan mengundang kecaman hebat, penyanyi dan pelakon Ieda Moin tampil memohon maaf selepas pendedahannya mengenai pengalaman nyaris terjebak dalam hubungan songsang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd. Moin menjelaskan, perkongsian yang dibuat dalam sebuah program audio siar itu bukan bertujuan untuk mencari sensasi, sebaliknya sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Bismillah. Salam kepada semua yang memberi komen terhadap podcast (audio siar) luahan perjalanan hidup Cikda (Ieda). Saya memohon maaf atas kekhilafan yang pada awalnya saya fikir hanyalah untuk dijadikan pengajaran bersama, namun akhirnya menjadi medan kecaman terhadap diri saya. Saya akui, saya bersalah kerana membuka aib sendiri tanpa memikirkan sensitiviti semua yang mendengar dan tidak mendengar dari awal hingga akhir,” katanya menerusi ruangan komen di hantaran teaser program berkenaan.

Menurut penyanyi yang mula dikenali sejak tahun 1999 itu, dia menerima segala teguran daripada orang ramai dengan hati terbuka dan menganggap komen yang diterima sebagai tanda keprihatinan masyarakat terhadap dirinya. “Alhamdulillah, saya tidak tersasar dalam hidup dan cepat sedar atas teguran daripada anda semua. Saya faham teguran itu datang daripada niat yang baik, bukan untuk menjatuhkan. Teguran ini juga hak anda semua sebagai saudara sesama Islam dan anda sudah menjalankan tanggungjawab dengan penuh keprihatinan,” ujarnya.

Ieda turut menegaskan bahawa pengacara podcast berkenaan, Aidid Marcello, tidak bersalah dalam hal ini kerana segala perkongsian dibuat atas kerelaannya sendiri.

“Tuan punya podcast iaitu Aididitmyway juga tidak bersalah kerana dia meminta izin untuk segala perkongsian. Saya berikan keizinan itu tanpa sebarang paksaan,” katanya lagi.

Walaupun berdepan kecaman hebat, Ieda tidak menaruh sebarang dendam terhadap mana-mana pihak dan memilih untuk melihat sisi positif daripada kejadian tersebut.

“Tanpa rasa marah dan dendam sedikit pun, saya menerima segala teguran daripada anda semua dengan hati terbuka kerana saya tahu teguran itu demi kebaikan bersama. Dengan rasa hormat dan rendah diri, terima kasih kepada semua yang sudah memberi nasihat kepada saya,” katanya.

Terdahulu, dalam podcast yang dikendalikan Aidid Marcello, Ieda berkongsi bahawa dia pernah melalui fasa rapat dengan seorang rakan wanita, namun segera menjauh selepas disedarkan oleh sahabat lain. Walaupun pengakuan itu belum sampai ke tahap hubungan cinta, perkongsiannya mencetus salah faham dalam kalangan netizen yang menuduhnya sengaja membuka pekung di dada.

Bagi Ieda, kisah yang pernah berlaku itu kini menjadi pengajaran berharga dalam hidupnya. Dia percaya setiap manusia pernah melakukan kesilapan, namun yang penting ialah kesediaan untuk berubah dan menerima nasihat dengan hati terbuka.

Read Entire Article
Selebrity | Refreshing | | |